Penduduk kecewa PAS, PKR boikot p'raya Batu Talam
Beberapa penduduk kawasan Batu Talam kecewa kerana PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihanraya kecil pada 28 Januari ini.
Beberapa penduduk kawasan Batu Talam kecewa kerana PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihanraya kecil pada 28 Januari ini.
Hamzah Zainal, dari Kampung Baru, Cheroh berkata, penduduk kini khuatir projek-projek pembangunan tidak dilaksanakan kerana kerajaan tahu Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam pilihanraya kecil tersebut.
Dalam pilihanraya kecil itu, calon BN, Abdul Aziz Kiram akan ditentang oleh seorang calon bebas, Ng Chee Pang, 22.
"Selalunya apabila ada pilihanraya, penduduk kampung akan mendapat durian runtuh dan ini yang kami harapkan, tetapi tidak menjadi kenyataan.
"Jika ada calon pembangkang, kerajaan akan mencurahkan projek kerana mereka mahu mendapatkan undi," katanya ketika ditemui malaysiakini semalam.
Seorang lagi penduduk Abdul Rahman Ahmad pula berkata, harapan penduduk setiap kali berlaku pilihanraya kecil ialah untuk menyelesaikan semua masalah yang membelenggu mereka.
Katanya, peneroka Felda Tersang mahu masalah penempatan peneroka baru selesai, manakala bagi penduduk Kampung Gesing, mereka mahu mendapat jambatan baru menggantikan jambatan gantung yang telah berusia 30 tahun.
Sementara itu, penduduk Batu Talam yang bergantung kepada sektor pertanian mengeluh kerana perkembangan ekonomi yang sangat perlahan akibat kekurangan pembukaan tanah baru di tempat mereka.
Projek pertanian
Mereka mendakwa pembukaan tanah-tanah baru sangat berkurangan dan ini menyebabkan petani tidak dapat menoroka tanah untuk projek pertanian secara komersil.
Penduduk Abdul Razak Ahmad, 50, berkata, berikutan pertambahan penduduk, sepatutnya pembukaan tanah menjadi semakin rancak untuk menampung keperluan tersebut.
"Jika tidak ada pembukaan tanah baru, petani yang bergantung hidup kepada sektor pertanian akan mencari kerja lain," katanya ketika ditemui di Batu Talam, semalam.
Sementara itu, masyarakat keturunan India Batu Talam pula mengadu kawasan rumah mereka sering dilanda banjir kilat apabila hujan lebat.
Mereka mendakwa ada dua faktor yang menyebabkan banjir kilat tersebut, iaitu longkang yang terlalu kecil di depan rumah mereka dan di bahagian belakang rumah mereka pula terdapat parit berhampiran ladang kelapa sawit yang tidak mampu mengalirkan air yang banyak apabila hujan lebat.
Menurut Sivakumar K. Ramasami,35, penduduk telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi sehingga hari ini tidak ada tindakan diambil.
Ada 32 keluarga keturunan India yang tinggal di Batu 12, Jalan Batu Talam yang sering berdepan dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat.
"Kalau boleh kami mahu pihak ladang menutup parti tersebut dan membina parit baru yang boleh menghalang banjir kilat," katanya.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.