Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenali kerabat promosi ganja perubatan, pengasas Halal Hemp

MALAYSIANSKINI | Beberapa hari lalu, seorang pesara duta berusia 78 tahun dan anak lelakinya ditahan selepas penemuan lebih 100 pokok ganja di rumah mereka di Janda Baik, Pahang.

Bekas diplomat itu ditahan ketika serbuan di rumahnya pada Sabtu lalu, manakala anak lelakinya berusia 53 tahun ditahan di Shah Alam pada Isnin.

Pada awal tahun itu, penyanyi Yasin Sulaiman didakwa mengedar ganja, satu kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Keluarga Yasin sedang memohon kebenaran Jabatan Penjara untuk membenarkan artis dan komposer itu, yang mengalami gangguan bipolar kronik, mendapatkan rawatan pakar psikiatri kerana dia berada di penjara atas kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Enam bulan lalu pula, seorang pengguna ganja yang juga pelatih pusat pemulihan dadah di Kubang Pasu, Kedah, meninggal dunia akibat kecederaan selepas seorang warden menggagalkan cubaannya melarikan diri dan didakwa memukulnya sehingga mati.

Ketika sebahagian besar negara di dunia maju ke hadapan, Malaysia masih berputar-putar dengan dasar dadah dan kawalan ketat terhadap ganja.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat perbincangan untuk menghalalkan ganja perubatan, menangani penyalahgunaan dadah bukan sebagai masalah jenayah tetapi isu kesihatan awam dan memansuhkan hukuman mati.

Pun begitu, tidak ada apa-apa yang berubah walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedang menyemak keputusan bekas kerajaan Pakatan Harapan mengenai rawatan alternatif menggunakan ketum dan ganja perubatan.

Ini selepas mesyuarat rasmi perdana menteri bersama Kaukus Perubatan Ganja Parlimen yang keanggotaannya merentas parti pemerintah dan kerajaan.

Awal bulan ini, Senator Ras Adiba Radzi menjadi tokoh terkini yang menggesa perubahan dalam penggunaan ganja perubatan.

Dia berkata Malaysia perlu memainkan peranan serius dan mengambil tindakan progresif untuk membenarkan penggunaan kanabis dan hem, terutama kandungan bahan aktif cannabidiol (CBD) dalam tumbuhan itu untuk tujuan perubatan.

Ras Adiba juga baru-baru ini bertemu dengan Tengku Chanela Jamidah Tengku Abdullah yang dikenali sebagai jurukempen ganja perubatan.

Tengku Chanela bersama Ras Adiba Radzi.

Kerabat diraja Pahang yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu merupakan puteri kepada Allahyarham Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah Almarhum Sultan Abu Bakar.

Baru-baru ini, Tengku Chanela telah melancarkan inisiatif Halal Hemp dan sedang berusaha untuk mengubah fikiran dan undang-undang mengenai isu ini.

“Saya menyokong usaha ini sejak 2019 dan bekerja dengan NGO dan banduan kes ganja untuk mewujudkan kesedaran di media sosial dengan matlamat untuk menghilangkan stigma.

“Sejak itu, saya telah berunding secara peribadi mengenai projek ganja dan selepas melihat jurang dalam industri dan dapat menyelesaikan masalah unik, saya membuat keputusan untuk melancarkan Halal Hemp pada 2021,” katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual.

Halal Hemp kini mempunyai perkongsian eksklusif dengan The American Halal Foundation, yang merupakan organisasi pensijilan pertama dan satu-satunya di dunia yang mencipta proses pengauditan untuk mengesahkan bahan aktif tumbuhan ganja, CBD sebagai halal.

Pengisytiharan halal bertujuan untuk membolehkan orang ramai berasa yakin dan selesa, bersama dengan pelbagai kajian klinikal dan data penyelidikan saintifik lain.

“Kami kini dalam program jangkauan kepada jenama di Amerika Syarikat untuk menerima pakai sijil dan akan melancarkan pasaran pada musim panas ini.

“Peluang pasaran halal untuk ganja dan rami secara global dianggarkan berjumlah AS$58.6 bilion setiap tahun menjelang 2030 dan Malaysia sahaja boleh menyumbang sehingga RM46.6 bilion.

“Pada masa ini, industri halal menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK kami, penambahan sektor hem dan kanabis boleh menggandakan angka ini,” kata Tengku Chanela.

Ketika di Malaysia sebelum ini, dia pernah terlibat dalam jenama fesyen Thavia dan Dida, tetapi kata Chanela pada 2018, dia mula mengambil minyak CBD untuk masalah kerisauan (anxiety), insomnia dan sakit kronik.

“Ia sangat mengejutkan. Kepelbagaian penggunaan tumbuhan ini, ditambah pula dengan perubahannya dalam meningkatkan kualiti hidup saya, mendorong saya untuk berkongsi mengenainya dengan orang lain.”

Tengku Chanela berkata, dia akhirnya memutuskan bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil bahagian dalam kempen yang begitu penting itu.

Apakah yang mendorong anda untuk terlibat?

Sebaik sahaja saya dapat memahami faedah ganja perubatan dan serat hem untuk perindustrian, ia menjadi sangat jelas bahawa ini merupakan satu keperluan.

Saya melihatnya sebagai tanggungjawab saya untuk menjadi pengguna perubatan dan mengambil maklum kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang boleh diberikan oleh tumbuhan ini.

Saya juga merasakan bahawa terdapat terlalu banyak salah tanggapan mengenai tumbuhan itu dan melalui jurnal perubatan dan data saintifik, orang lain akan melihat kebenaran dan akhirnya akan diterima pakai di lebih banyak negara kerana kita melihat kemajuan legalisasi di seluruh Timur (AS).

Seberapa pantas industri bergerak di AS? Apakah tindak balas terhadap langkah itu?

Pada masa ini, terdapat hampir 40 negeri yang telah menghalalkan penggunaan ganja secara perubatan atau kegunaan rekreasi orang dewasa manakala serat hem dan bahan aktif CBD pula sah di peringkat persekutuan AS melalui penggubalan rang undang-undang ladang pada 2018.

Pada 2021, kajian penyelidikan menunjukkan bahawa 91 peratus rakyat Amerika menyokong pengesahan undang-undang dalam penggunaan ganja. Rakyat Amerika membelanjakan hampir AS$25 bilion untuk produk ganja pada 2021.

Negeri-negeri yang menghalalkan ganja secara kolektif memperoleh lebih daripada AS$10 bilion hasil cukai ganja sejak penjualan sah pertama dimulakan pada 2014. Sambutan tersebut menggalakkan dan mengurangkan kadar jenayah di negeri yang telah membenarkan penggunaan ganja.

Seperti yang semua sedia maklum, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggugurkan ganja perubatan daripada senarai dadah berbahaya.

Oleh itu, Malaysia perlu membolehkan penggunaan, penjualan dan pengedaran ganja dan hem, terutamanya CBD untuk tujuan perubatan.

Anda menjawat jawatan sebagai penaung Masa (Malaysia Society of Awareness). Adakah anda masih terlibat dalam pertubuhan proganja perubatan di Malaysia itu?

Saya tidak lagi menjadi penaung kerana saya menumpukan ikhtiar untuk membangunkan Halal Hemp, inisiatif saya yang berpangkalan di AS. Saya baru sahaja dilantik sebagai penasihat kepada Regennabis, sebuah syarikat penasihat, keahlian, acara dan pelaburan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Awal bulan ini, kami menganjurkan persidangan ganja hem/ kanabis yang pertama dihoskan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan saya menjadi ahli panel mewakili inisiatif Halal Hemp.

Isu menghalalkan penjualan dan pemilikan ganja perubatan sedikit sebanyak telah ditangani oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, tetapi dia menggesa ujian klinikal lebih lanjut. Adakah kita memerlukannya, memandangkan banyak negara di luar negara telah menjalankan ujian dan kajian?

Ganja hem dan bahan aktif CBD telah pun diuji dan diluluskan oleh FDA AS (Pentadbiran Makanan dan Ubat) dan dijual sebagai Epidiolex, bermakna ia telah terbukti selamat untuk pesakit bagi semua peringkat umur. Tambahan pula, keberkesanan CBD telah terbukti dalam pelbagai kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia.

Ini tidak bermakna produk yang dimaksudkan untuk digunakan dan dijual tidak seharusnya diuji seperti mana-mana produk pengguna yang lain.

Setiap negeri di AS telah melaksanakan ujian kawalan kualiti ketat yang memerlukan produk dilabelkan untuk kandungan kanabinoid mereka dan diuji untuk bahan cemar asing seperti logam berat, racun perosak dan bahan kimia industri lain.

Pada akhirnya, ini bukan tentang keselamatan kanabinoid, yang telah pun terbukti selamat. Sebaliknya, ini tentang menguji produk siap dalam memastikan bahawa ia tidak dicemari dalam penanaman, pengeluaran dan proses pembuatannya.

Wacana berterusan, perbincangan, perbahasan dan dialog adalah penting terutamanya dalam kalangan pembuat dasar dalam membincangkan faedah penggunaan ganja perubatan.

Kerajaan juga perlu memainkan peranan serius dalam memastikan ekosistem yang lengkap, termasuk merangka tindakan/ pelan strategik serta perundangan yang mesra ganja perubatan.

Mengurangkan jumlah kecil pemilikan dadah supaya penagih boleh dilayan sebagai pesakit, bukan penjenayah, juga telah dibincangkan. Tetapi ini tidak menjadi kenyataan?

Saya percaya perkara ini mesti berkuat kuasa serta-merta. Thailand, negara jiran kita telah mengeluarkan ganja daripada jadual undang-undang dadah dan menghalalkan ganja perubatan.

Terdapat keperluan mendesak bagi kerajaan Malaysia untuk meminda undang-undang sedia ada dengan menggugurkan ganja daripada senarai Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. Memetik rakan saya, pengamal perubatan yang mendapat didikan Universiti Harvard, Dr Uma Dhanabalan: "Ganja bukan dadah pengenalan, ia penawar untuk keluar daripada (ketagihan ubatan) farmaseutikal, narkotik, alkohol dan nikotin."

Berbanding tembakau, alkohol dan opioid dengan kadar ketagihan yang lebih tinggi, ganja tidak menyumbang kepada satu kematian.

Bagaimana pula dengan menghapuskan hukuman mati mandatori sebagai sebahagian daripada sabitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya?

Membunuh seseorang kerana tumbuhan manakala yang lain menjana pendapatan berbilion dolar itu bertentangan dengan hak asasi manusia kita.

Kita mesti berubah daripada cara lama kita dan mengenal kesan larangan dan bagaimana undang-undang menyiksakan ini terhasil.

Penjara sudah sesak, dengan 60 peratus banduan di penjara kerana sabitan kes dadah tanpa kekerasan.

Negara membelanjakan lebih RM500 juta setahun untuk mengekalkan banduan tersebut. Pembiayaan itu boleh diperuntukkan dengan lebih baik ke arah pembangunan negara kita dan tujuan yang lebih wajar.

Kita mesti memansuhkan hukuman mati dengan serta-merta.

Kita juga ada kes kematian ganas seorang pengguna ganja yang dipukul sampai mati gara-gara cuba melarikan diri dari pusat pemulihan?

Ini menyayat hati. Sekali lagi, pengguna ganja bukan penjenayah. Saya sentiasa mengikuti perkembangan apa yang berlaku di Malaysia dan akan melancarkan dana/ yayasan yang memfokuskan impak sosial untuk memastikan banduan mendapat perhatian dan keadilan yang sepatutnya. Nantikan.

[Baca berita asal]


MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.

Klik untuk siri terdahulu di bawah:

Kenali Hasrul Rizwan - penulis, tukang keranda, pembuat roti

Jati diri Orang Asli dari lensa Ronnie Bahari

Separuh Melayu separuh Cina, hasrat Jamaliah rapatkan jurang kaum

Douglas Lim - dari pentas 'stand-up' ke video parodi

Iklim dalam krisis: Ili Nadiah tak boleh diam

Kisah seniman dan sepohon avokado

Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

Menanam harapan di Bangsar dan Bangladesh

Lihat Komen
ADS