Kjaan digesa dedahkan cadangan penswastaan kesihatan
Kementerian Kesihatan perlu mendedahkan kandungan cadangan penswastaan kesihatan bagi membolehkan orang ramai mengetahui perkara tersebut, kata Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Perkhidmatan Kesihatan.
Kementerian Kesihatan perlu mendedahkan kandungan cadangan penswastaan kesihatan bagi membolehkan orang ramai mengetahui perkara tersebut, kata Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Perkhidmatan Kesihatan.
Pengerusinya, Dr Subramaniam Pillay berkata, apa yang berlaku sekarang ialah orang ramai tidak tahu apa yang berlaku dalam penswastaan tersebut kerana ia dianggap rahsia oleh kementerian tersebut.
"Ini tidak adil kepada rakyat kerana sebagai pembayar cukai mereka perlu tahu kandungan penswastaan tersebut.
"Gabungan ini yang mengandungi 81 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, mahu melihat kandungan itu untuk membolehkan kami memberi maklum balas mengenai perkara tersebut," katanya dalam satu sidang media di ibu negara itu.
Antara yang menganggotai gabungan tersebut ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), parti politik, persatuan pengguna dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs).
Dr Subramaniam berkata, penswastaan itu membabitkan semua hospital kerajaan dan akan dilaksanakan selepas laporan perunding dihantar kepada Kementerian Kesihatan Mac ini.
Cukai baru
Katanya, kajian mengenai penswastaan tersebut dibuat oleh pakar perunding dari Australia sejak Jun tahun lalu dan laporan pertama dihantar pada Oktober lalu.
Antara syor dalam laporan tersebut, katanya, ialah mengkorporatkan semua hospital kerajaan dan mengenakan segala bentuk rawatan dan pembedahan. Selain itu, memperkenalkan cukai baru terhadap semua barangan dan perkhidmatan (GST) untuk mengutip dana untuk Tabung Pembiayaan Kesihatan.
"Kami memohon untuk mendapatkan laporan pertama itu tetapi tidak dapat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya membantah penswastaan kesihatan kerana ia akan membebankan pesakit, terutama yang berpendapatan rendah.
Katanya, penswastaan kesihatan tidak sesuai di laksanakan di negara ini kerana beban hidup sedia ada sudah tinggi selain kesihatan merupakan hak asasi manusia.
"Pegawai kerajaan boleh membuat tuntutan dari majikan, tetapi bagaimana dengan pekerja sendiri, pesara mahupun penduduk kampung," katanya.
Pekerja asing
Menurutnya, penswastaan perkhidmatan kesihatan juga akan menyebabkan pekerja asing tidak mampu mendapat rawatan kerana kos perubatan yang berlipat kali ganda.
Dr Subramaniam berkata, ini memungkinkan pekerja asing terbabit yang dihidapi penyakit akan terlantar sakit di rumah kerana tidak mampu membayar kos rawatan di hospital.
"Hari ini pun pekerja asing diberi rawatan kelas tiga tetapi bayaran yang dikenakan kelas satu," katanya lagi.
Sementara itu, Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, penswastaan kesihatan akan `membakar' rakyat yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
Katanya, pendapatan sebanyak itu tidak cukup untuk hidup selesa di bandaraya seperti Kuala Lumpur kerana kos hidup yang sedia tinggi.
Beliau berkata, MTUC pernah memohon berjumpa dengan Kementerian Kesihatan untuk membincangkan penswastaan tersebut tetapi tidak dilayan.

