Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Sg Besar sedia buka jalan untuk Zafrul tanding di S'gor

Umno Sungai Besar sedia "membuka jalan" kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk aktif bersama Umno bahagian itu jika berhasrat untuk bertanding atas tiket parti itu dalam PRU15.

Ketuanya Jamal Md Yunos bagaimanapun berkata ia tidak bermakna Tengku Zafrul akan menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar memandangkan ia hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

"Saya mengalu-alukan Tengku Zafrul untuk bertapak di Selangor. Kalau bahagian lama tak mahu Tengku Zafrul, Umno Sungai Besar sedia terima.

"Soal calon itu diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, saya hanya membuka ruang untuk dia bergerak aktif bagi membantu Umno Selangor dan membolehkan dia bertanding di mana-mana kerusi di Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Zafrul merupakan senator yang dilihat cenderung kepada Bersatu memandangkan dia dilantik sebagai menteri kewangan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Namun pada 25 Mei Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan mengesahkan Tengku Zafrul sebagai ahli Umno "sejak dulu lagi" dan sebelum menjadi menteri.

Ahmad Maslan berkata, penyertaan Tengku Zafrul yang sebelum ini dikenali sebagai tokoh perbankan bukanlah sesuatu yang baru.

Dalam pada itu, Jamal berkata Umno Selangor perlu berubah jika ingin kembali mentadbir negeri itu pada PRU akan datang.

"Saya terbuka jika dia (Tengku Zafrul) hendak datang membantu Umno di Selangor dan menenangkan BN dalam PRU," katanya.

Dalam pada itu, sumber Umno memaklumkan Tengku Zafrul sedang mengintai beberapa kerusi, termasuk di Negeri Sembilan dan Selangor, untuk bertanding dalam PRU15.

"Setakat ini Tengku Zafrul dilihat amat berminat untuk bertanding di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Bahkan dia telah lama 'bergerak' di Kuala Pilah dengan mengatur pelbagai program di kawasan itu," kata sumber itu.

Dia berkata jika Tengku Zafrul ingin bertanding di kerusi Sungai Besar pula, dia perlu bersaing dengan beberapa pemimpin lain.

"Bekas menteri besar Selangor Khir Toyo dan bekas ahli parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi dikatakan berhasrat untuk membuat kemunculan semula," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Zafrul dan masih menunggu maklum balasnya berkaitan kerusi yang ingin ditandinginya pada PRU akan datang.

Lihat Komen
ADS