Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus mendakwa kepimpinan Umno negeri berkenaan bakal bertukar dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu berkata tiada isu yang timbul berkaitan kepimpinan Umno negeri, ketika ini.
“Tiada isu. Takde isu pun. Sehingga hari ini parti berada dalam keadaan yang terbaiklah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Badan Perhubungan Umno Melaka di rumahnya di Kampung Pulau, Masjid Tanah malam tadi.
Majlis yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam turut disertai Naib Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ab Rauf, yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menganggap khabar angin yang timbul sebagai sebahagian daripada asam garam dunia politik.
“Saya tak anggap benda (khabar angin) tu sebagai satu ancaman kepada kedudukan Umno negeri pun. Masing-masing boleh meluahkan perasaan masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pemuda Umno negeri Dr Muhammad Akmal Saleh mahu lembaga disiplin parti itu bertindak terhadap mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan berhubung kepimpinan kerajaan negeri Melaka dan Umno negeri sehingga boleh mengkucar-kacirkan parti.
Katanya, kenyataan peribadi segelintir individu tersebut telah menimbulkan keadaan 'kurang senang' dalam kalangan ahli parti.
"Kita tidak mahu perkara mendatangkan gusar dalam kalangan ahli yang mahu melaksanakan tugas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau di Lipat Kajang di Jasin, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Ketua Wanita Umno bahagian Jasin Siti Faizah Abdul Azis dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Melaka Datuk Khaidirah Abu Zahar menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka manakala Datuk Seri Ab Rauf sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.
- Bernama
