Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gelar Kit Siang pengecut, sindir Mahathir
Diterbitkan:  May 30, 2022 11:08 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan veteran DAP Lim Kit Siang sebagai pengecut selepas menolak pelawaannya untuk berdebat.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Lim sebagai seorang yang berani memfitnah, namun kecut bila dicabar berdebat dalam bahasa Inggeris.

"Kenyataan 'uncle' (Lim) pagi ini. Dia kata dia tak bersara politik. Dia tak mahu debat dengan saya. Alasan kali pertama tak debat (tahun 2019): Debat antara Kit Siang dengan Najib akan mencetuskan isu perkauman.

"Alasan kali kedua tak debat (tahun 2022): Debat akan beri platform kepada Najib untuk menonjolkan diri dan menaikkan kredibiliti Najib.

"Pengecut. Berani fitnah dan tipu selama berpuluh tahun tapi kecut bila dicabar," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Lim dalam kenyataan hari ini berkata bahawa dia tidak akan berdebat dengan Najib yang sepatutnya sudah menghilangkan dirinya dari arena politik Malaysia.

“Saya telah memilih untuk tidak terlibat dalam politik sebegini lagi tetapi apa yang lebih penting adalah, saya tidak akan berdebat dengan Najib Razak, kerana perkara yang terbaik yang dia boleh lakukan sekiranya dia benar-benar sayangkan Malaysia adalah untuk hilang terus dari arena politik Malaysia selepas membawa malu dan mencemarkan nama negara sebagai sebuah kleptokrasi semasa pemerintahannya sebelum ini.

“Dia hanya akan membawa lebih banyak malu kepada nama negara dengan mengatakan yang dia bangga dengan kleptokrasi Malaysia di dunia,” katanya.

Lim berkata, dia tidak berhasrat untuk memberikan apa-apa ruang kepada bekas perdana menteri itu yang hanya akan digunakan untuk meningkatkan kredibilti dan kepercayaan yang kononnya tidak ada salahnya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi.

Sementara itu, Najib berkata, tidak apa jika Lim memilih untuk berdebat tetapi pemimpin DAP itu perlu menjawab enam soalan yang dikemukakannya dua minggu lalu.

Dalam hantaran berasingan, Najib turut mengkritik bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaburan negara dengan China.

"Tahun 2018, Mahathir fitnah Najib mahu jual Malaysia sebab negara China banyak melabur dan meniaga dengan Malaysia. Lalu banyak batalkan projek China selepas menang PRU14.

"Tahun 2022, Mahathir saran dunia untuk tidak memburukkan hubungan dengan China demi kepentingan ekonomi negara. Begitulah dia," tulis Najib.

Lihat Komen
ADS