Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yakin akan mendapat sokongan padu sekiranya dia bertanding di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Sambil mengesahkan hasrat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar jika direstu pucuk pimpinan, dia juga yakin Umno mampu merampas kembali kerusi tersebut.

“Niat saya (bertaning) kerana mahu memastikan kemenangan parti (Umno dan bukannya ada tujuan lain.

“Namun, saya menyerahkan keputusan itu kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Walaupun Umno hilang pegangannya ke atas kerajaan negeri Selangor sejak 2008, namun kerusi parlimen Sungai Besar tidak pernah terlepas daripada Umno sehinggalah pada PRU-14 pada 2018.

Pada PRU itu calonnya, Budiman Mohd Zohdi tewas kepada calon Bersatu, Muslim Yahaya.

Terdahulu isu kerusi Parlimen Sungai Besar menjadi tumpuan selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz juga dikatakan mengintai kerusi berkenaan.

Khabar angin itu dikuatkan dengan kenyataan Umno Sungai Besar yang sedia "membuka jalan" buat Tengku Zafrul.

Pada 28 Mei lalu, Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos berkata pihaknya sedia menerima Tengku Zafrul untuk aktif bersama Umno bahagian itu jika dia berhasrat untuk bertanding atas tiket parti itu dalam PRU15.

Bagaimanapun Jamal berkata ia tidak bermakna Tengku Zafrul akan menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar memandangkan ia hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu, Dr Khir, 56, menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan sama ada dia diberi lampu hijau oleh pimpinan parti untuk bertanding.

Dia bagaimanapun enggan mengulas khabar angin Tengku Zafrul akan bertanding di kerusi berkenaan.

“Saya tidak mahu komen kerana tidak pernah berjumpa Tengku Zafrul. Namun, saya ingin tegaskan jika beliau terpilih (bertanding), kita perlu pastikan kerusi itu menang,” katanya.