NSTP saman blogger Rocky dan Jeff Ooi

Soon Li Tsin        

New Straits Times Press (NSTP) telah mengemukakan saman malu terhadap dua blogger Ahirudin Attan dan Jeff Ooi berhubung kandungan yang disiarkan dalam blog mereka.

Ahirudin yang mengendali blog 'Rocky's Bru' berkata beliau menerima saman tersebut dua malam yang lalu di Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di Kuala Lumpur.

"Anda boleh baca dalam blog Nuraina (A Samad). Dia ada sana. Dia menulis bagaimana saya enggan menerimanya," katanya.

Menurut blog Nuraina, Ahirudin terperanjat dan dia diserahkan dokumen yang hampir sekaki tebalnya.

Peguam yang menyerahkan notis itu kepada Ahirudin mewakili NSTP; Timbalan Pengerusinya, Datuk Kalimullah Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamudin Aun dan bekas Pengarang Kumpulan, Brendan Pereira.

Bekas pengarang eksekutif Malay Mail itu memberitahu malaysiakini bahawa mereka menyebut 48 kandungan yang dianggap berunsur fitnah dan memohon injunksi terhadap blognya.

Menurutnya, kes ditetapkan untuk didengar pada 25 Januari dan beliau masih belum mendapatkan khidmat peguam.

Tuduhan menciplak

Manakala saman terhadap Jeff yang mengendalikan blog 'Screenshots' akan didengar pada 30 Januari ini.

"Peguam saya sedang meneliti butirannya dan akan menjawabnya," katanya kepada malaysiakini.

Berikutan itu, satu gerakan yang dikenali sebagai 'Bloggers United, No Fear' yang diterajui oleh blogger, Sheih, diwujudkan melalui talian sejak tersebar berita mengenai saman tersebut.

Pada bulan November 2006, Ahirudin dan Jeff terbabit dalam satu kontroversi dengan NSTP selepas mendedahkan bahawa satu kolum dalam New Straits Times pada 30 Oktober yang ditulis oleh Pengarang Kumpulannya, Brendan Pereira, hampir sama gaya dan struktur penulisannya dengan kolum tulisan Mitch Albom dalam Detroit Free Press pada 10 September 2006.

NSTP kemudiannya mengumumkan tempoh perkhidmatan Pereira sebagai pengarang kumpulan NST, berakhir pada 31 Disember serta menolak dakwaan penciplakan itu.

Ahirudin dan Jeff juga mendakwa Kallimullah and NST merupakan 'tukang propaganda (spin doctor) Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In