Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali diserang oleh empat lelaki yang tidak dikenali yang bersenjatakan parang dan batang besi di kediamannya di Ampang hari ini.

Dalam kejadian tersebut, cermin kereta jenis Volkswagen Golf GTI di sebelah pemandu telah dipecahkan. Ia berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari ketika Azmin pulang ke rumahnya sebelum pergi sembahyang Jumaat.

Keempat-empat penyerangnya itu memasuki kawasan anjung rumahnya ketika Azmin sedang meletakkan keretanya. Mereka bersenjatakan parang dan batang besi.

Azmin, yang cedera ringan, tidak menolak kemungkinan serangan itu bermotifkan politik. Katanya, penyerangnya itu hanya meminta telefon bimbitnya.

"Mereka mengacu parang sepanjang dua kaki ke perut saya dan berulangkali bertanya di manakan telefon bimbit saya. Yang hairannya, mereka tidak meminta barangan berharga yang lain," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya petang tadi.

"Selepas saya menyerahkan telefon bimbit saya, mereka bertanya apa lagi yang saya ada, dan saya serahkan wangtunai RM2,000 yang ada dengan saya. Mereka beredar selepas itu," katanya.

Azmin memyifatkan dirinya 'agak panik' sewaktu kejadian tersebut yang berlaku selama lima minit. Katanya, empat penyerangnya itu berpakaian kemas dan tidak menutup muka mereka.

'Banyak persoalan'

Penyerangnya itu datang dengan menaiki kereta Proton Wira Aeroback kelabu. Azmin dapat mencatat nombor pendaftarannya dan menyerahkannya kepada pihak polis.

"Banyak persoalan yang timbul. Jika ia satu rompakan, mengapa mereka tidak masuk ke dalam rumahnya dan mencari barangan bernilai? Mereka hanya meminta telefon bimbit saya," tegasnya.

Ketika kejadian itu, hanya orang gaji Azmin dan anak lelaki bungsunya, Mohamed Yusuf Al Sadiq, 5 (pix, right), yang ada di rumah.

Azmin terus membuat laporan di balai polis Ampang selepas kejadian tersebut.

Menurut Azmin, polis telah menahan salah seorang daripada suspek dalam masa tiga jam selepas mereka mengesan kereta menggunakan nombor pendaftaran berkenaan di sepanjang Jalan Ampang.

"Polis berkata mereka tidak menolak kejadian ia mungkin mempunyai motif politik. Mereka memberitahu saya mereka akan menjalankan siasatan sama ada suspek yang ditahan itu ada kaitan dengan mana-mana parti politik," katanya.

Menurut Azmin, itu bukan kali pertama beliau berdepan dengan ancaman seumpama itu kerana sebelum ini ada percubaan untuk membakar sebuah lagi keretanya pada awal pagi tahun lalu.

Apabila ditanya sama ada beliau ada menerima atau menyimpan sebarang maklumat penting dalam telefon bimbitnya sebelum kejadian tesebut, Azmin hanya berkata beliau mempunyai kira-kira 1,500 nombor telefon dalam telefon bimbitnya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Xavier Jeyakumar, para penyokong Azmin dan saudara maranya turut hadir di sidang akhbar tersebut. Berita asal