Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ramai pekerja kontrak, pengawal keselamatan sekolah belum terima gaji minimum'
Diterbitkan:  Jun 2, 2022 8:07 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendakwa ramai pekerja kontrak dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan masih belum menerima gaji minimum RM1,500.

Antara sebab yang didakwa disebut oleh majikan ialah kontrak perjanjian antara mereka dan kerajaan masih berdasarkan perintah gaji minimum yang lama.

Ini walaupun gaji minimum baru RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei telah diwartakan pada April.

“Pekerja juga mengadu bahawa kontraktor mereka menyatakan syarikat akan terus membayar gaji minimum RM1,200 sehingga kontrak mereka tamat.

“Syarikat-syarikat ini hanya akan melaksanakan kenaikan gaji RM300 sebulan kepada RM1,500 selepas kontrak mereka dengan kerajaan tamat,” kata JPKK dalam satu kenyataan.

JPKK menambah bahawa beberapa majikan kepada pekerja kontrak pembersihan sekolah didakwa memberitahu pekerja mereka bahawa mereka tidak dapat menampung kenaikan gaji minimum secara mendadak, dan berjanji untuk melaksanakannya secara berperingkat.

Ia menegaskan bahawa kerajaan, yang bertindak sebagai contoh kepada syarikat swasta, tidak seharusnya memberikan tender kepada syarikat tanpa melihat rekod perkhidmatan mereka terlebih dahulu.

“Terdapat terlalu banyak syarikat yang beroperasi di sekolah kerajaan yang melanggar undang-undang dengan tidak memberi pekerja gaji minimum, cuti tahunan dan cuti sakit, dan terus beroperasi tanpa akibat.

"Ada pihak yang juga mendapat tender berulang walaupun banyak rekod aduan pekerja mereka," kata JPKK.

JPKK menyeru kerajaan memastikan gaji minimum RM1,500 itu dilaksanakan di semua sektor kerajaan, dan memastikan kontraktor tidak memberi alasan mereka tidak mempunyai dana untuk membayar gaji minimum.

Ia menambah bahawa kerajaan harus memastikan semua pekerja kontrak yang membuat aduan terhadap majikan mereka dilindungi dan tidak menjadi mangsa.

Kontraktor yang enggan membayar gaji minimum, katanya, harus disenaraihitamkan.

Kerajaan memberi kontrak pengambilan pekerja pembersihan dan keselamatan kepada syarikat swasta.

Bagaimanapun, amalan itu telah menimbulkan aduan tentang eksploitasi pekerja oleh syarikat swasta tertentu.

Parti Sosialis Malaysia antara yang sering membangkitkan isu mengenai pekerja pembersihan sekolah kontrak dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan.

PSM menubuhkan JPKK untuk menangani isu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS