Walaupun hanya menentang calon bebas yang tidak ternama, Barisan Nasional (BN) dijangka sukar untuk rnendapatkan majoriti lebih 3,000 undi dalam pilihanraya kecil Batu Talam sukar kerana ramai pengundi Melayu dikatakan enggan keluar mengundi.

Ia berdasarkan kepada hasil maklumat yang diperolehi melalui kempen rumah ke rumah oleh jentera BN ke serata kampung dalam Batu Talam sejak hari penamaan calon, Selasa lalu.

"Ramai pengundi Melayu mengatakan mereka tidak perlu lagi keluar undi kerana sudah yakin calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram akan menang besar," kata ahli jawatankuasa Umno bahagian Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Katanya, jawatankuasa berkenaan yang turut menganggotai jentera pilihanraya BN Batu Talam, telah ditugaskan meninjau ke seluruh kampung di kawasan tersebut menjelang hari pengundian pada 28 Januari ini.

"Mereka memberitahu mahu pergi bercuti ke Kuala Lumpur dan menonton televisyen di rumah bersama keluarga dan sebagainya.

"Lebih membimbangkan ia berlaku di kawasan kubu kuat Umno seperti Batu Malim, Felda Tersang dan Sega," katanya ketika dihubungi malaysiakini semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan jentera pilihanraya BN Batu Talam supaya memastikan calon BN menang dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Batu Talam mempunyai 10,525 pemilih dengan hampir 80 peratus daripadanya pengundi Melayu.

Dalam pilihanraya kecil kali ini, Abdul Aziz ditentang oleh calon bebas Ng Chee Pang. Pilihanraya kecil Batu Talam diadakan berikutan kematian wakilnya dari BN, Datuk Paris Razlan pada 27 Disember lalu kerana sakit barah.

Abdullah yang juga Presiden Majlis Belia Felda Pahang berkata, jika jentera BN tidak dapat menyakinkan pengundi Umno supaya keluar mengundi, sasaran majoriti 3,000 undi mungkin tidak tercapai.

Pengundi atas pagar

Selain itu, katanya, untuk mendapatkan undi yang besar, jentera BN perlu juga menyakinkan pengundi atas pagar yang berjumlah antara 500 dan 1,000 orang.

"Sehingga hari ini, kita tidak tahu arah sebenar sokongan pengundi atas pagar kerana kempen baru bermula. Mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi, kita boleh mendapat menganggarkan bilangan pengundi atas pagar yang akan mengundi calon BN," katanya lagi.

Menurut Abdullah, dalam kempen BN, ramai penduduk mengadu bahawa masalah yang dihadapi mereka masih belum diselesaikan walaupun sudah memaklumkannya kepada berkenaan.

Katanya, peneroka Felda Tersang masih merungut kerana anak-anak mereka belum dapat memasuki tanah rancangan baru kerana kawasannya dikatakan belum ada, sedangkan temuduga pemilihan sudah dibuat 10 tahun lalu.

Sementara itu, Abdullahberkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai dakwaan bahawa MCA mengadakan kempen secara bersendirian.

Sebaliknya, kata beliau, kempen BN dibuat dengan perancangan rapi bagi memastikan keberkesanannya.

"Apa yang kita buat ialah jentera Umno bertumpu kepada kawasan pengundi Melayu, MCA dan Gerakan di kawasan Cina dan MIC serta di kawasan pengundi India," katanya lagi.

Menurutnya, jentera kempen BN akan diperhebatakan menjelang hari mengundi 28 Januari ini.