Polis di utara India hari ini menahan seorang ketua pemuda parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata (BJP) kerana membuat komen anti Islam di media sosialnya.

Penahananya itu selepas kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW sehingga mencetuskan krisis diplomatik peringkat global oleh seorang lagi angota parti terbabit.

Harshit Srivastava, ketua pemuda dari parti pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah ditangkap di bandar Kanpur selepas rusuhan tercetus minggu lalu ketika protes penduduk Muslim membantah kenyataan anti-Islam.

"Kami menahan ahli politik tempatan kerana membuat kenyataan menghasut terhadap orang Islam," kata seorang pegawai kanan polis, Prashant Kumar, lapor Reuters.

Tambah Prashant, sekurang-kurangnya 50 orang turut ditahan berikutan ketegangan di Kanpur.

Bagaimanapun, peguam Srivastava enggan mengulas lanjut berhubung penahanan itu.

Beberapa rusuhan dilaporkan di serata India selepas komen menghina Nabi Muhammad SAW dibuat oleh jurucakap BJP, Nupur Sharma, ketika debat yang disiarkan di televisyen.

Dia sudah pun digantung daripada parti manakala seorang lagi jurucakap, Naveen Kumar Jindal, dipecat kerana membuat kenyataan sama terhadap Islam di media sosial, menurut kenyataan BJP.

Sehubungan itu, amaran turut dikeluarkan kepada beberapa anggota parti itu supaya 'berhati-hati' apabila bercakap mengenai agama di pentas awam.