Badan-badan pemantau media memandang berat tindakan undang-undang yang diambil oleh kumpulan media New Straits Times Press (NSTP) yang pro-kerajaan terhadap dua blogger Malaysia Jeff Ooi dan Ahirudin Attan.

Ini merupakan kali pertama blogger di Malaysia diheret ke mahkamah ekoran komen mereka melalui Internet, di mana media lainnya dikawal ketat.

Perikatan Akhbar Asia Tenggara (SEAPA) berkata saman malu oleh NSTP dan tiga pegawai kanannya terhadap Jeff Ooi (blog Screenshots) dan Ahirudin Attan (blog Rocky's Bru) akan memberi impak terhadap akses rakyat Malaysia kepada berita, ulasan dan maklumat bebas.

"Ia juga akan memberi kesan buruk terhadap Internet sebagai medium untuk kebebasan bersuara dalam sesebuah negara di mana akhbar perdananya dimiliki dan dipengaruh oleh parti politik dan kerajaan," katanya.

Manakala Wartawan Tanpa Sempadan, sebuah pemantau media yang menyenaraikan Malaysia di tangga ke-92 daripada 168 negara dalam indeks kebebasan akhbar dunia, telah menggesa Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times, Datuk Syed Faisal Albar supaya campurtangan.

"Anda akan bersetuju bahawa, walaupun jika mereka tidak berkongsi pandangan anda, tetapi ketiadaan blog kedua-dua blogger yang lantang ini Ooi dan Ahiruddin akan merupakan satu kehilangan kepada dunia media Malaysia.

"Kami percaya kes ini tidak berasas," katanya, sambil menambah, "nampak kepada kita seolah-olah prosedur perundangan digunakan sebagai satu cara untuk 'mendiamkan' dua pengkritik akhbar anda ini," tambahnya.

Ooi menulis secara kritikal terhadap kerajaan dalam blognya sejak 2003, dan sejurus selepas ini terpilih memenangi anugerah Wartawan Tanpa Sempadan.

Ahirudin adalah bekas editor eksekutif akhbar Malay Mail, terbitan NSTP, yang memulakan blog Rocky's Bru selepas meninggalkan kumpulan media tersebut pada 2006.

Sekat pandangan alternatif

SEAPA berkata, para plantif NSTP dan tiga lelaki pegawai tinggi kumpulan itu berhak untuk melindungi reputasi mereka, tetapi badan pemantau media itu, menganggap saman terhadap blogger berkenaan sebagai satu serangan ke atas pergerakan penulisan bebas itu sendiri.

The New Straits Times mengesahkan dalam satu artikel Jumaat bahawa tindakan undang-undang itu telah difailkan dan ia berkaitan dengan artikel-artikel tertentu dan tulisan yang telah disiarkan.

Sabtu lalu, Ooi berkata, beliau sedang berbincang dengan para peguamnya tetapi enggan mengulas mengenai kesnya itu yang akan didengar pada 30 Januari ini. Ahiruddin pula di mana kesnya akan didengar pada 25 Januari tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula mengingatkan bahawa saman tersebut akan memberi kesan kepada kebebasan para blogger.

"Memandang ini adalah dua kes pertama blogger Malaysia disaman malu, ia akan mempunyai kesan yang meluas terhadap pertumbuhan demokratik bagi kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Aliran pula berkata, ia turut memandang berat kesa saman tersebut terhadap aktiviti blogging di Malaysia, yang kini merupakan sumber pandangan alternatif yang penting.

"Para blogger mungkin merasa tertekan dan menjadi lebih berwaspada, dan ini mungkin menghalang mereka daripada mededahkan salahguna kuasa dan perbuatan rasuah di tingkat tertinggi," katanya. Berita asal

- AFP