Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekayaan 50 individu di Malaysia dalam senarai Forbes menurun

Kekayaan terkumpul taikun 50 individu terkaya Malaysia dalam senarai Forbes 2022 turun 10 peratus berbanding setahun lepas kepada AS$80.5 bilion manakala pengasas kumpulan Kuok, Robert Kuok masih menduduki tempat pertama.

"Secara keseluruhan, 30 orang terkaya dalam senarai itu menyaksikan kekayaan mereka merosot," kata Forbes Asia ketika mengumumkan senarai tersebut hari ini.

Senarai lengkap boleh didapati di www.forbes.com/malaysia dan juga dalam edisi bulan Jun Forbes Asia.

“Didorong sebahagiannya oleh pemulihan dalam permintaan domestik, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus pada suku pertama 2022, mengatasi kesan pandemik serta kesan akibat banjir kilat yang berlaku Disember lepas.

"Walaupun pasaran saham merosot sedikit dalam tempoh 12 bulan lalu, turun naik mata wang menyaksikan ringgit merosot 6.0 peratus," katanya.

Forbes Asia berkata Kuok kekal berada di tempat pertama walaupun kekayaannya merosot kepada AS$11 bilion daripada AS$12.2 bilion tahun lepas.

Bagaimanpun, Pengerusi Syarikat Hong Leong (Malaysia) Tan Sri Quek Leng Chan meraih keuntungan tinggi dalam dolar dan menduduki tempat kedua individu terkaya Malaysia dengan kekayaan terkumpul sebanyak AS$10.1 bilion.

Beliau menambah AS$500 juta kepada nilai kekayaan bersihnya sebanyak AS$9.6 bilion tahun lepas.

Tan Sri Koon Poh Keong dan adik beradiknya yang mengawal syarikat aluminium Press Metal Bhd kekal di tempat ketiga dengan AS$6.2 bilion (RM27.2 bilion), tidak berubah daripada setahun lalu.

Melengkapkan senarai lima individu paling kaya adalah Pengasas dan Pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai kekayaan AS$5.7 bilion (RM25 bilion) dan Ananda Krishnan yang mempunyai kepentingan dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd serta penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd dengan AS$5 bilion (RM22 bilion).

“Pembuat sarung tangan getah Malaysia yang merupakan antara yang meraih keuntungan tinggi tahun lepas, kini menghadapi cabaran. Permintaan untuk peralatan perlindungan diri merosot apabila kes Covid-19 berkurangan seterusnya menjejaskan saham syarikat,” katanya.

Jumlah kekayaan Kuan Kam Hon daripada Hartalega Holdings (No. 11, AS$1.9 bilion) dan Tan Sri Lim Wee Chai daripada Top Glove (No. 14, AS$1.4 bilion) pula merosot paling banyak dalam dolar.

Pasangan suami isteri Datuk Seri Stanley Thai dan Cheryl Tan daripada Supermax (No. 45) menyaksikan peratusan terbesar kejatuhan kekayaan mereka, berkurangan lebih dua pertiga kepada AS$340 juta.

Kekayaan kolektif kumpulan lima orang in0i, yang termasuk Tan Sri Lim Kuang Sia daripada Kossan Rubber Industries (No. 24, AS$740 juta) dan Wong Teek Son daripada Riverstone Holdings (No. 30, AS$565 juta), turun lebih daripada AS$5.7 bilion.

“Larangan sementara Indonesia ke atas eksport minyak boleh dimakan dalam persekitaran penurunan pengeluaran minyak sawit Malaysia memberikan keuntungan kepada hartawan dalam sektor tersebut,” kata Forbes Asia.

Kekayaan yang dikongsi oleh adik-beradik yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian (No. 12, AS$1.6 bilion) mendapat kelebihan lebih daripada satu pertiga apabila saham syarikat mereka Batu Kawan dan anak syarikat perladangannya melonjak dengan peningkatan keuntungan.

Tan Sri Ling Chiong Ho (No. 36, AS$425 juta), salah seorang daripada dua orang yang kembali disenaraikan tahun ini selepas empat tahun apabila saham Sarawak Oil Palm, syarikat utama kumpulan Shin Yangnya, meraih keuntungan.

Sementara itu, penyenaraian bulan Mac bagi pengeluar tenusu Farm Fresh mendorong Loi Tuan Ee (No. 43) yang berkongsi kekayaan bersama dua adik-beradiknya, mempunyai kekayaan terkumpul sebanyak AS$380 juta, syarikat tersebut disenaraikan buat kali pertama.

Farm Fresh yang diasaskan oleh Loi dan abangnya Loi Tuan Kin pada tahun 2007 dan seterusnya mendapat sokongan dana kekayaan negara Khazanah Nasional, memiliki lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia.

Nilai bersih minimum untuk disenaraikan ialah $255 juta, turun daripada AS$315 juta pada 2021.

10 individu terkaya Malaysia adalah:

  • Robert Kuok; AS$11 billion

  • Quek Leng Chan; AS$10.1 billion

  • Koon Poh Keong dan adik-beradik; AS$6.2 billion

  • Teh Hong Piow; AS$5.7 billion

  • Ananda Krishnan; AS$5 billion

  • Lee Yeow Chor dan Yeow Seng; AS$4.8 billion

  • Chen Lip Keong; AS$2.7 billion

  • Tan Yu Yeh dan Yu Wei; AS$2.4 billion

  • Lim Kok Thay; AS$2.35 billion

  • Lau Cho Kun; AS$2 billion

Forbes Asia berkata senarai itu dikumpul menggunakan maklumat pegangan saham dan kewangan yang diperoleh daripada keluarga dan individu, bursa saham, laporan tahunan dan penganalisis.

Kedudukan itu menyenaraikan kekayaan individu dan keluarga termasuk yang dikongsi bersama saudara-mara. Syarikat swasta dinilai berdasarkan syarikat sama yang didagangkan secara terbuka.

Nilai bersih adalah berdasarkan harga saham dan kadar pertukaran ketika pasaran ditutup pada 20 Mei, 2022.

Warga asing yang mempunyai hubungan perniagaan, kediaman atau hubungan perniagaan lain dengan negara atau warganegara yang tidak menetap di negara itu tetapi mempunyai perniagaan penting atau hubungan perniagaan lain dengan negara turut layak untuk disenaraikan, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS