Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Pihak nak PRU segera yang gila kuasa
Diterbitkan:  Jun 10, 2022 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

PAS menganggap pihak yang bertegas mahu menyegerakan pilihan raya umum (PRU) adalah kumpulan sebenar kemaruk kepada kuasa, bukannya parti itu yang berpendapat ada hal lain yang perlu diutamakan.

"Biasanya orang yang nak cepat (PRU) ni yang gila kuasa, yang nak tangguh ni tak gila... kita fikir panjang," kata presidennya Abdul Hadi Awang yang ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila, Kuala Terengganu hari ini.

Tambah Abdul Hadi dia sudah menyatakan berkali-kali bahawa ketika ini ada isu lain yang perlu diberi perhatian termasuk ancaman Covid-19 yang belum bebas sepenuhnya di negara ini.

Ahli parlimen Marang itu juga mengingatkan, beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan sebelum ini berlaku akibat tindakan Umno-BN yang mahu ia diadakan segera.

"Bukan kita (PAS). Kita masuk (sertai PRN) pun kerana terpaksa," katanya lagi.

Terdahulu Abdul Hadi ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed yang menggelar PAS sebagai parti kemaruk kuasa.

Kata Nur Jazlan tindakan pemimpin PAS khususnya yang berjawatan dalam kerajaan sekarang enggan mengadakan PRU ke-15 segera berpunca daripada sikap mereka yang "kemaruk kuasa".

Menurut bekas ahli parlimen Pulai itu lagi, alasan berkenaan adalah satu-satunya punca mengapa PAS menolak untuk mengadakan PRU.

Ditanya lebih lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS memang tidak gila kuasa kerana parti itu sudah lama berada "di bawah" berbanding parti lain.

Sebaliknya tambah duta khas bertaraf menteri itu lagi pihak yang selalu berada di atas adalah pihak yang patut dianggap kemaruk kuasa.

Ditanya mengenai sikap PAS sama ada mereka bimbang atau tidak jika kalah dalam PRU akan datang, Abdul Hadi juga menafikannya.

"Kita (PAS) pernah kalah, selalu kalah. Yang menang jarang-jarang sekali.

"Yang susahnya oorang yang selalu menang dan kalah sikit..." katanya sambil ketawa kecil.

Lihat Komen
ADS