Saravanan nafi pengasas Bestinet sebahagian 'sindiket' bekal buruh
Menteri Sumber Manusia M Saravanan menafikan dakwaan bahawa pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor yang dilahirkan di Bangladesh adalah sebahagian daripada "sindiket" yang membekalkan buruh dari Bangladesh ke Malaysia.
Saravanan berkata demikian selepas ejen buruh di Dhaka mendakwa bahawa Mohd Amin mempengaruhi kerajaan Malaysia untuk mengehadkan bilangan agensi yang dibenarkan membekalkan buruh ke Malaysia kepada 25 syarikat sahaja.
Bestinet adalah syarikat yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform dalam talian untuk mendaftarkan pekerja asing berkolar biru
Ditanya jika Mohd Amin adalah sebahagian daripada "sindiket" yang membekalkan tenaga buruh seperti yang didakwa oleh ejen pengambilan Bangladesh, Saravanan menolak dakwaan itu.
“Dia berasal dari Bangladesh dan kini warganegara Malaysia. Dialah yang sebenarnya membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing ke Malaysia bertahun-tahun dahulu.
“Dia tidak terlibat dalam pengambilan pekerja,” kata menteri itu yang dipetik oleh Free Malaysia Today hari ini.
Bestinet pada April lalu juga menafikan sebarang kaitan dengan agensi pengambilan pekerja yang disenaraikan di FWCMS itu.
Ejen pengambilan buruh di Bangladesh dan Malaysia menentang keputusan Putrajaya untuk mengehadkan bilangan ejen yang dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia kepada 25 ejen dan 250 subagen. Mereka sebaliknya, menggesa pasaran terbuka.
Menurut Persatuan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) terdapat 14 negara sumber untuk pekerja asing berkolar biru, dan tiada satu pun daripada mereka mengehadkan had bilangan agensi buruh yang dibenarkan menghantar pekerja.
Saravanan berkata dia tidak akan berganjak dalam keputusan berkenaan, dengan alasan pasaran terbuka pada awal tahun 2000-an telah membawa kepada kemasukan pekerja yang tidak terkawal, khususnya dari Bangladesh, yang kebanyakan mereka kemudiannya menganggur dan tinggal di jalanan di Kuala Lumpur.
Menteri itu tidak mengulas bagaimana pekerja berkenaan diberikan visa oleh Jabatan Imigresen sedangkan tiada pekerjaan buat mereka di Malaysia.
Mohd Amin yang mempunyai gelaran Datuk Seri sudah lama dikaitkan dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap kemasukan buruh asing termasuk bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu wawancara bersama Suara.tv pada 2016, Mohd Amin menafikan dakwaan permohonan kewarganegaraan sebagai rakyat Malaysia telah dipercepatkan dengan bantuan Zahid. Katanya, dia telah tinggal di Malaysia sejak 1990-an, berkahwin dengan warga Malaysia dan mempunyai anak dengan kerakyatan Malaysia.

