Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini rendah, seiring dengan bursa serantau, dengan tekanan jualan yang berterusan secara menyeluruh, kata peniaga.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.84 mata kepada 1,497.87 daripada 1,509.71 pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka rendah 4.03 mata kepada 1,505.68 dan bergerak antara 1,493.32 dan 1,505.68 pada sepanjang sesi pagi.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 655 berbanding 163, manakala 357 kaunter tidak berubah, 1,099 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.23 bilion unit bernilai RM823.29 juta.

Peniaga berkata Bursa Malaysia telah diheret turun oleh jualan berterusan yang menyeluruh dan mengakhiri sesi pagi lebih rendah.

Pergerakan itu adalah seiring dengan bursa serantau yang mengambil isyarat daripada kejatuhan ketara semalaman saham Amerika Syarikat (AS) dan bon kerajaan menjelang pengumuman data harga pengguna pada Jumaat, dengan para pelabur menjangkakan angka inflasi AS yang tinggi, katanya.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Anderson Alves berkata ekuiti Asia telah terperangkap dalam dagangan defensif pada Jumaat berikutan ekuiti global dan pasaran bon dilanda aliran mengelak risiko berikutan kecenderungan Bank Pusat Eropah untuk menaikkan kadar faedah.

“Turut mempengaruhi ekuiti Asia adalah prospek berhati-hati bagi pertumbuhan ekonomi di China berikutan kebimbangan mengenai COVID-19 di Shanghai dan Beijing ke atas sekatan pergerakan dan pengujian besar-besaran.

Malah, beliau berkata peniaga turut memantau rapat hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS, dengan semua perhatian tertumpu kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) AS lewat hari ini bagi membantu mengukur jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) bagi September.

“Fed dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas (bps) lagi pada minggu depan. Langkah 50 bps selanjutnya itu ditetapkan harga pada Julai sebelum Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menilai rancangan normalisasinya.

“Sekiranya bacaan teras IHP AS menunjukkan penambahbaikan, pasaran boleh mula membuat penetapan harga semula pada keluk mulai Julai dan selanjutnya, menambahkan tekanan terhadap aset berisiko,” kata peniaga.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.86 peratus kepada 3,182.07, Nikkei 225 Jepun turun 1.42 peratus kepada 27,844.82, Hang Seng Hong Kong berkurangan 0.18 peratus kepada 21,828.86 dan KOSPI Korea Selatan jatuh 1.36 peratus kepada 2,589.63.

Sementara itu, Indeks Komposit SSE China meningkat 0.58 peratus kepada 3,257.59.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut dua mata kepada RM8.78 dan RM5.05 dan Public Bank turun empat sen kepada RM4.53.

Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM9.69 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.43.

Bagi saham aktif, LGMS meningkat 2.5 sen kepada 74 sen, Top Glove turun enam sen kepada RM1.16, Genting jatuh 33 sen kepada RM4.87, manakala MNC Wireless dan Widad tidak berubah pada 1.5 sen dan 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 86.08 mata kepada 10,755.60, Indeks FBM Emas Syariah merosot 88.08 mata kepada 11,020.67, FBM 70 menguncup 96.02 mata kepada 13,130.17, FBM ACE susut 35.89 mata kepada 5,134.05 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 81.16 mata kepada 10,453.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 66.73 mata kepada 16,454.98, Indeks Perladangan susut 70.06 mata kepada 7,595.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.78 mata kepada 193.26.

- Bernama