Najib saran 30% pekerja bekerja dari rumah atasi kesesakan jalan raya
Bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan supaya kerajaan membenarkan 20 hingga 30 peratus pekerja bekerja dari rumah sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya di ibu kota yang semakin ketara.
Najib berkata, ia bukan saja dapat mengurangkan kadar kesesakan jalan raya, malah dapat mengurangkan subsidi minyak yang ditanggung kerajaan.
Katanya, pelaksanaan bekerja dari rumah ketika negara berdepan pendemik Covid-19 telah terbukti berkesan dengan 70 peratus kakitangan awam bekerja dari rumah.
"Antara isu-isu dihadapi negara sekarang ialah kesesakan trafik yang sangat teruk serta kerajaan sedang menanggung kos subsidi petrol yang semakin tinggi dan dijangka akan melebihi RM30 bilion tahun ini.
"Ketika pandemik, ramai yang disuruh bekerja dari rumah (work from home) dan ianya terbukti kaedah ini sesuai dengan pelbagai jenis pekerjaan.
"Sebanyak 70 peratus pekerja disuruh kerajaan untuk 'work from home' masa itu. Jadi, saya rasa ia tidak susah sekiranya majikan dan kerajaan hari ini menggalakkan dan membenarkan semula 20 peratus hingga 30 peratus daripada jumlah pekerja untuk bekerja dari rumah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilapor akan membuat kajian terperinci bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata, beberapa pendekatan akan diputuskan dalam masa terdekat untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya berhubung masalah itu.
"Saya minta DBKL membuat kajian terperinci untuk mengatasi masalah ini mungkin 100 peratus tak boleh selesai tetapi dapat membantu kurangkan kesesakan pengguna di Kuala Lumpur ini," kata Jalaluddin.
Dalam pada itu Najib berkata, langkah membenarkan kakitangan awam bekerja dari rumah seperti dicadangkan akan dapat mengurangkan sekitar 20 ke 30 peratus kesesakan lalu lintas.
"Dengan langkah ini, 20 peratus hingga 30 peratus kesesakan trafik dapat diredakan dan kerajaan juga menjimat 20 peratus hingga 30 peratus kos subsidi petrol dan diesel - penjimatan yang melebihi RM9 bilion bagi tahun ini.
"Pada masa yang sama, projek-projek pengangkutan awam yang ditangguh dan diperlambatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu perlu dipercepatkan dan disiapkan secepat mungkin," katanya.

