mk-logo
Berita
Desak PRU15: PAS seru Zahid henti 'berpolitiking' seketika
Diterbitkan:  Jun 12, 2022 3:17 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

PAS menyeru Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan, kata Ketua Penerangannya Khairil Nizam Khirudin.

Menurutnya, tiada keperluan untuk kerajaan segera mengadakan pilihan raya umum.

"Beliau (Ahmad Zahid) seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera Umno untuk bersama dengan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

"Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi.

Gambar fail, Konvensyen BN baru-baru ini.

"Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah," kata senator itu pada satu kenyataan yang disiarkan Harakahdaily hari ini.

Khairil Nizam juga meminta ahli Majlis Tertinggi Umno untuk menasihati Zahid yang "seringkali memberikan tekanan kepada perdana menteri untuk segerakan PRU15."

"Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, presiden Umno haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan," katanya.

Jelasnya, PAS menyokong kerajaan pada hari ini demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik.

Gambar fail, perhimpunan agung Umno.

"Sepertimana presiden Umno mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan Umno, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

"Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

"Berikan sokongan tidak bersyarat kepada perdana menteri untuk beliau dan kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," tegasnya.

Lihat Komen
ADS