Kerajaan telah menutup enam pusat penjagaan kesihatan swasta, termasuk sebuah pusat perubatan, sebuah pusat bersalin dan klinik 24 jam di di Seremban, Klang dan Johor Bahru.

Pusat-pusat kesihatan terbabit dikendalikan oleh enam doktor palsu, seorang pembantu perubatan, jururawat masyarakat, bekas jururawat tentera dan seorang rakyat asing.

"...semuanya melakukan operasi seperti doktor dan ada juga menyambut kelahiran bayi," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, enam doktor palsu tersebut akan didakwa mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-dua sekali.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kementeriannya menjangka lebih banyak klinik yang dikendalikan oleh doktor palsu dapat dikesan apabila ia melancarkan operasi di seluruh negara bermula di Wilayah Persekutuan.

Chua berkata, ia dapat dijalankan dengan pengenalan akta di atas, yang antara lainnya, mewajibkan pengendali mempunyai lesen bagi menjalankan kemudahan penjagaan kesihatan, klinik pergigian atau klinik perubatan.

Buru pengamal perubatan

Katanya enam kes itu tidak termasuk kes seorang pengamal perubatan tradisional di Shah Alam memberi rawatan secara haram dan masih diburu oleh pihak berkuasa sejak kliniknya diserbu tahun lepas.

Mengulas kelewatan pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star, Chua berkata Kementerian Kesihatan akan menerima hospital itu daripada pemaju hanya selepas ia berpuas hati dengan kerja baik pulih, termasuk dari egi teknikal dan kejuruteraan.

Projek hospital berharga RM565 juta itu sepatutnya siap lima tahun yang lalu tetapi diberi tempoh lanjutan selama lima kali.

"Bukan semua kontraktor Kelas A boleh membina hospital kerana pembinaan sebuah hospital itu rumit berbanding membina sebuah hotel, kompleks beli-belah atau rumah.

"Kontraktor yang dipilih seharusnya mempunyai kepakaran, latar belakang yang elok serta rekod pencapaian yang baik dalam membina hospital," katanya.

Katanya, tarikh baru penyerahan hospital itu belum ditetapkan.