Sebuah NGO menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Imigresen mengambil tindakan tegas terhadap agensi pekerjaan yang didakwa menipu warga asing.
Pertubuhan Kebajikan Perikemanusiaan Dasvandh Sewa Malaysia berkata mereka mendapat aduan bahawa perkara itu masih berlaku di sekitar Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
Malah, dakwa presidennya Rakvinder Kaur berkata terdapat syarikat yang diusahakan warga asing yang mempunyai taraf pemastautin tetap.
"Agensi pekerjaan dia juga memiliki sebuah syarikat pembuatan yang digunakan untuk membawa masuk pekerja asing ke sini sebelum menghantar mereka ke syarikat lain dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM7,000.
"Selain itu, dia juga turut mengambil sub kontrak dengan beberapa syarikat lain dan menggunakan pekerja ini dengan gaji yang rendah. Kadang-kala mereka tidak dibayar gaji sehingga enam bulan,” dakwanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan syarikat itu.
Rakvinder berkata setakat ini tiga laporan polis telah dibuat ke atas syarikat itu melibatkan dakwaan penipuan 12 pekerja asing.
"Kami mendapati kes 12 individu ini hanya segelintir kecil daripada beratus-ratus pekerja asing 'dikawal' olehnya," kata Rakvinder.
