Fahmi tak puas hati cara kerajaan kendali kes penipuan
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berpendapat ada cara yang lebih baik untuk kerajaan menangani isu penipuan membabitkan sindiket yang aktif memperdaya orang ramai di negara ini.
Katanya ketika ini hanya pemegang akaun yang diperalatkan sindiket (mule) terbabit saja didakwa di mahkamah sedangkan dalang sebenar masih bebas.
"Dilaporkan kira-kira RM3.3 bilion dicuri melalui kegiatan scam antara 2017 hingga 2021.
"Ini bersamaan dengan sekurang-kurangnya RM660 juta yang dicuri dari hampir 20,000 orang setiap tahun dan ia bukan jumlah yang kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fahmi adakah kerajaan sebenarnya tidak dapat mengarahkan pihak bank untuk membuat audit forensik terhadap laluan wang (money trail) bagi mengetahui siapa sebenarnya penerima wang yang dicuri itu.
Malah dia turut mencadangkan agar kerajaan mencontohi cara pihak berkuasa mengendalikan kes 1MDB untuk mengekang kegiatan penipuan sekarang.
"Kalau pegawai-pegawai bank boleh tahu money trail dalam kes 1MDB membabitkan Najib Razak - yang jumlahnya berbilion ringgit serta merentasi pelbagai negara dan sistem kewangan - apakah bank khususnya Bank Negara dan Bukit Aman tidak dapat mengenal pasti siapa penerima akhir duit yang dicuri scammer terbabit untuk diheret ke mahkamah?" katanya.
Menurut Fahmi, kerajaan perlu memastikan keadilan diberikan kepada lebih 100,000 mangsa sindiket penipuan terbabit.

