Kerajaan digesa kumpul tokoh berwibawa tangani stagflasi ekonomi
Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff (gambar) menasihati kerajaan supaya mengambil langkah mengumpulkan tokoh-tokoh ekonomi berwibawa untuk membantu negara berdepan stagflasi ekonomi.
Mengulas mengenai perkara itu katanya, stagflasi dalam bahasa mudah ialah pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengangguran yang agak tinggi, dan pada masa yang sama disertai dengan kenaikan harga (iaitu, inflasi).
"Stagflasi juga adalah tempoh inflasi yang digabungkan dengan penurunan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK).
"Begitulah keadaan ekonomi negara sekarang. Itu belum lagi dinilai kesan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan semalam terhadap nilai ringgit dan ekonomi negara.
"Saya mahu pesan perkara berikut sahaja. Menteri yang berkaitan tolong ambil tindakan pembetulan segera, kumpul tokoh-tokoh ekonomi berwibawa untuk membantu.
"Suburkan perkataan prestasi, performance, produktiviti, keefisienan kerja di kementerian masing-masing. Paling penting, jangan lagi keluarkan kenyataan yang menjengkelkan apabila menjawab teguran dan rungutan rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mohammad Agus turut memetik hantaran yang dibuat pakar ekonomi yang juga bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noor Azlan Ghazali, yang menyatakan keadaan ekonomi Malaysia sekarang dalam risiko stagflasi.
Tokoh tersebut berkongsi laporan prospek ekonomi global Bank Dunia bertajuk 'Stagflation risk rises amid sharp slowdown in growth’.
Laporan itu antara lain menyatakan rantaian kesan pandemik Covid-19 dan pencerobohan ke atas Ukraine telah meningkatkan kelembapan dalam ekonomi global, yang memasuki tempoh yang boleh menjadi tempoh pertumbuhan lemah yang berlarutan dan peningkatan inflasi.
Ia akan meningkatkan risiko stagflasi, dengan risiko tinggi bagi ekonomi berpendapatan sederhana dan rendah.
Sementara itu Mohammad Agus yang pensyarah sains politik UKM berkata, dia sebelum ini mempersoalkan apakah kerajaan Malaysia berada di landasan yang betul dalam menangani ekonomi negara.
"Saya menegaskan tidak di landasan yang betul kerana kerajaan tidak mempunyai tindakan yang jelas dalam menyelesaikan masalah pekerjaan, krisis makanan, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kos sara hidup, dan pengaliran keluar pelabur asing.
"Saya lalu menzahirkan kehairanan bagaiamana setelah Bank Negara menaikkan OPR kepada dua peratus, kerajaan boleh lagi melaporkan pertumbuhan ekonomi negara meningkat kukuh dan mampan. Saya terima pelbagai reaksi balas, biarlah," katanya.

