Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KES 1MDB | Akaun AmBank Najib Razak menerima hampir AS$20 juta daripada Putera Arab Saudi Faisal Turki Bandar Al-Saud pada 2011, menurut keterangan pengurus Unit Swift (pemindahan dana dan sekuriti elektronik masa nyata) bank perdagangan itu.

Wedani Senen memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi bahawa akaun bekas perdana menteri itu yang berakhir dengan 694 juga menerima hampir AS$650 juta antara 2012 dan 2013.

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib, Wedani yang merupakan saksi pendakwaan ke-29 berkata tertuduh menerima jumlah wang hampir AS$670 juta dalam akaun AmPrivate Banking-MR miliknya.

Dia berkata pemindahan daripada Putera Turki dalam dua peringkat daripada Bank Riyad melalui JPMorgan Chase Bank yang berpangkalan di Amerika Syarikat berlaku antara 24 Feb dan 14 Jun 2011.

Wedani memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa Blackstone Asia Real Estate Partners memindahkan hampir AS$30 juta ke dalam akaun berakhir 694 antara 30 Okt dan 19 Nov 2012.

Semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Najwa Bistamam, Wedani memberi keterangan bahawa AS$620 juta mengalir daripada Tanore Finance Corporation ke dalam akaun AmPrivate Banking-MR pada 22 Mac 2013.

Menurut pendakwaan sebelum ini, Blackstone dan Tanore adalah dua entiti British Virgin Islands (BVI) yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memudahkan penyelewengan dana daripada 1MDB.

Wedani menjelaskan bahawa sejumlah 12 transaksi wang masuk ke dalam dua akaun Najib - yang berakhir 694 serta akaun AmPrivate Banking-1MY yang berakhir dengan 880 - direkodkan antara 2011 dan 2014 melalui sistem kiriman wang Swift antarabangsa.

Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung semula pada Isnin minggu depan, dengan saksi dijangka menyambung semula keterangannya berhubung urus niaga yang lain.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Berkenaan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB dilakukan oleh Jho Low dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bahawa Najib tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Jho Low dan ahli pengurusan 1MDB yang lain.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS