Polis hari ini mengesahkan empat lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam penularan rakaman video yang boleh dianggap menghasut serta menyebabkan kegentaran awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata suspek terbabit merupakan warganegara Nepal yang berumur di antara 26 hingga 27 tahun.

“Mereka ditangkap oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada hari ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan itu.

Menurut Abd Jalil semua suspek ditahan di Meru, Klang.

Katanya turut dirampas daripada mereka ialah peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan tersebut.

Kejadian yang dirakamkan di hadapan kuil di Batu Caves itu berlaku selepas ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) India, Nupur Sharma, membuat kenyataan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Mereka juga dipercayai menjadi penyokong gerakan Hindu Samachar.

Menurut Abd Jalil suspek kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.

Selain itu tambahnya mereka juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Suspek juga katanya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sementara itu, polis juga menasihatkan suspek lain yang masih bebas agar tampil bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi polis.