Syed Mokhtar berminat tambah pegangan dalam Utusan

   

Tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dikatakan berminat untuk menambah pegangannya dalam penerbit akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Menurut sumber, Syed Mokhtar telah menghantar wakilnya berjumpa secara tidak rasmi dengan pihak dalam Umno pada akhir tahun lalu, ketika cadangan penggabungan Utusan dan New Straits Time Press (M) Bhd (NSTP) sedang sibuk diperkatakan, tetapi belum mendapat sebarang jawapan.

Utusan dan NSTP baru-baru ini telah membatalkan cadangan pengabungan mereka.

Menurut laporan media, Syed Mokhtar melalui syarikat persendirian, Nilam Setar Sdn Bhd, memegang 20 peratus kepentingan di dalam Utusan.

Sumber yang dekat dengan Syed Mokhtar itu berkata pegangan saham Syed Mokhtar di dalam Utusan ialah 30 peratus, demikian menurut laporan Bernama.

Menurut sumber itu lagi, Syed Mokhtar bersedia membeli seberapa banyak saham Utusan yang ditawarkan pada harga yang tertakluk kepada rundingan, sama ada melalui suntikan modal baru ke dalam Utusan ataupun membeli saham dari Umno.

"Sekarang, ia terserah kepada Umno," kata sumber itu.

Katanya Syed Mokhtar menganggap tawaran tersebut sebagai tanggunjawab sosial kerana Utusan dikatakan memerlukan modal bagi mengembangkan loji percetakannya dan juga akhbar tabloidnya, Kosmo!.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In