Kasitah jelas pinjaman tertunggak RM11.5 juta kepada RHB
Tan Sri Kasitah Gaddam membayar pinjaman tertunggak sebanyak RM11.5 juta kepada RHB Bank selepas berjumpa dengan bekas pengerusi eksekutif bank itu Tan Sri Rashid Hussain pada 25 Julai 1997, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.
Tan Sri Kasitah Gaddam membayar pinjaman tertunggak sebanyak RM11.5 juta kepada RHB Bank selepas berjumpa dengan bekas pengerusi eksekutif bank itu Tan Sri Rashid Hussain pada 25 Julai 1997, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.
Saksi keempat pendakwaan, bekas penolong pengurus besar Development & Commercial Bank Berhad (kini dikenali sebagai RHB), Rossana Annizah Ahmad Rashidi berkata, bekas menteri itu bersetuju untuk membuat pembayaran selepas bank itu menghantar surat tuntutan ketiga pada 24 Julai 1997 berjumlah RM12.3 juta.
Rossana semasa memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah itu berkata, sebelum itu, Kasitah tidak memberikan jawapan balas kepada surat tuntutan kedua bertarikh 13 Mei 1996, yang memberikan beliau tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM11.98 juta dari tarikh surat itu dikeluarkan.
Saksi itu berkata dalam perjumpaan dengan pegawai bank RHB pada 4 November 1996 yang turut dihadiri oleh beliau dan pengurus besar kawalan kredit & penyeliaan, Lai Nam Meng, Kasitah berkata beliau akan menjelaskan bayaran pinjamannya itu daripada penjualan saham dalam Sapi Plantations Sdn Bhd.
Rossana berkata Kasitah turut memaklumkan kepada beliau yang Kasitah selaku pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) akan memperuntukkan lapan peratus daripada saham Sapi (3,360,000 saham) oleh Briskmark Enterprise Sdn Bhd yang memperoleh 40 peratus daripada 42 juta saham Sapi, dengan setiap satu bernilai RM9.
Kasitah, 60, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) bagi mendapat keuntungan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan meluluskan cadangan bagi menjual 16.8 juta saham Sapi Plantation yang dipegang oleh lembaga itu kepada Briskmark.
Beliau juga dituduh menipu anggota mesyuarat LKTNS dengan menyembunyikan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap satu saham Sapi dalam cadangan PPB untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Sasar penyenaraian
Semasa pemeriksaan balas, Rossana berkata pada perjumpaan itu, Kasitah turut memaklumkan bahawa Sapi akan menyuntik ke dalam PPB bagi penyenaraian di BSKL menerusi pertukaran saham iaitu lima saham PPB bagi satu saham Sapi, di mana Kasitah akan mendapat 16.8 juta saham PPB.
"Kasitah memberitahu kami bahawa penyenaraian itu yang dilakukan oleh Malaysian International Merchant Bankers Berhad (MIMB) mensasarkan penyenaraian itu pada awal 1997 pada harga Tawaran Awal Awam (IPO) RM2.80 bagi setiap saham," katanya.
Rossana memberitahu mahkamah bahawa Kasitah juga memaklumkan pada perjumpaan itu yang Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memberikan kelulusan dan mahu bank itu membiayai sebuah syarikat nominee untuk membeli 3,360,000 saham Sapi.
Beliau berkata, Kasitah juga menyatakan bahawa sebaik disenaraikan, beliau akan melupuskan semua saham miliknya dalam PPB dan akan membayar sepenuhnya hutangnya termasuk hutang peribadinya kepada bank itu.
Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Azmi Ariffin, Rossana berkata para pegawai kanan bank itu bagaimanapun menolak cadangan itu dan mengarahkan Kasitah membayar pinjaman tertunggaknya.
Kepada soalan lain sebelum itu, Rossana berkata Kasitah mengambil pinjaman RM10.9 juta daripada D&C Bank pada 22 Feb, 1994 untuk membeli dua juta saham daripada Dr Ismail Rashid, pemilik Intra-Oil Supplies Sdn Bhd (IOS).
Beliau berkata SC menolak dua permohonan IOS untuk disenaraikan, yang menyebabkan saham yang awalnya dibeli oleh Kasitah turun nilai daripada RM9 kepada RM1 setiap satu.
"Selepas IOS gagal disenaraikan, Kasitah memaklumkan bank itu bahawa beliau akan membayar balik pinjamannya melalui sumber lain daripada konsesi balak dan hartanahnya di Sandakan," katanya.
Rossana berkata bank itu pertama kali menghantar surat tuntutan bertarikh 21 Mac 1995 melalui firma guaman Lee Hishammuddin untuk menjelaskan bayaran tunggakan berjumlah RM11.66 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Suraya Othman disambung hari ini.

