Calon bebas bagi pilihanraya kecil Batu Talam, Ng Chee Pang telah membuat dua aduan kepada Suruhanya Pilihanraya (SPR) kerana mendakwa calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Kiram, telah menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Ng menggesa SPR supaya membatalkan pencalonan Abdul Aziz, tetapi suruhanjaya itu berkata ia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana kod etika itu hanyalah satu garispanduan bagi calon-calon yang bertanding.

"SPR kata, mereka telah memberi amaran kepada calon BN tetapi kita tidak mahu dia diberi amaran, kita mahu (pencalonan) beliau dibatalkan," tegas Ng.

Ng berkata, beliau membuat aduan tersebut berdasarkan kepada kod etika pilihanraya tersebut yang diedarkan kepada kedua-dua calon pada hari penamaan calon.

Menurut kod etika tersebut, katanya, calon atau pekerja pilihanraya dilarang menggunakan bangunan kerajaan untuk berkempen, kecuali setelah mendapatkan kebenaran bertulis.

"Saya telah mengambil gambar, contohnya, sebuah dewan sekolah digunakan, bendera BN digantung untuk Dr Ng Yen Yen (Ahli Parlimen BN Raub dan Timbalan Menteri Kewangan) berkempen bagi calon BN," dakwa Ng.

Ng juga mendakwa, trak polis dan majlis daerah telah digunakan untuk mengangkut kerusi dan barangan lain untuk kempen BN.

Sementara itu, pengurus pilihanraya kecil Batu Talam, Abdul Kadir Awang Bakar berkata kod etika itu hanya merupakan garispanduan bagi calon-calon yang bertanding.

'Hanya garispanduan'

"Kita tidak boleh membatalkan mana-mana calon atas alasan tersebut," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Bagaimanapun, Abdul Kadir berkata SPR telah mengambil tindakan berhubung aduan Ng terhadap calon BN yang didakwanya menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

"Pasukan penguatkuasa kami telah menurunkan poster (calon BN) yang digantung di pagar sekolah kerajaan," katanya sambil mengesahkan telah menerima aduan bertulis dari Ng.

Menjelaskan mengapa tindakan lanjut tidak diambil, Abdul Kadir berkata: "Poster tersebut tidak dipasang oleh calon BN sendiri...mungkin 'secara sengaja' dipasang oleh penyokongnya...tidak semua orang tahu tahu undang-undang."

Memandangkan poster itu telah diturun, maka Abdul Kadir menegaskan "kes tersebut telah ditutup".

Ketika dihubungi untuk mendapatkan reaksinya terhadap kenyataan Abdul Kadir, pengurus kempen NG, yang juga bapanya, Kwi Ling, mempertikaikan keputusan SPR itu.

"Jika kita yang melanggar kod etika tersebut, tentu (pencalonan) kita telah dibatalkan. Kita telah diberitahu oleh SPR dalam taklimat kepada calon selepas penamaan dibuat bahawa kami mesti mematuhi kod etika itu, jika tidak, (pencalonan) kita akan dibatalkan," kata Kwi Ling, yang juga bekas pemimpin DAP Pahang.

Beliau berkata, pihaknya akan berhenti berkempen sekiranya SPR tidak bertindak secara adil terhadap aduan yang dikemukakan oleh anaknya itu.

Dalam aduan keduanya kepada SPR semalam, NG turut menyertakan foto sebagai bukti yang menunjukkan pihak lawannya telah menggunakan sekolah kerajaan, serta trak polis dan majlis daerah untuk berkempen.