'Suapan' UKSB: C4 gesa bentang undang-undang pendanaan politik
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa undang-undang mengenai pendanaan dan derma politik dibentangkan secepat mungkin.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata perbicaraan rasuah melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan sumbangan politik yang tidak terkawal menjadi penyebab utama rasuah politik.
“Di bawah kerangka undang-undang sedia ada, tiada had ke atas jumlah sumbangan politik yang dibenarkan.
“Juga tiada keperluan untuk parti politik mendedahkan identiti penderma mereka.
“Ini menghalang apa-apa jenis pengawasan atau penelitian awam tentang bagaimana derma politik mempengaruhi sistem politik kita sehinggalah seorang ahli politik itu didakwa menerima rasuah, seperti yang dibuktikan dalam kes Ahmad Zahid Hamidi sekarang.
“Berapa banyak lagi “derma politik” yang mencurigakan diberi kepada ahli politik yang orang ramai tidak tahu?” soalnya.
Keterangan saksi dalam perbicaraan rasuah Zahid mengaitkan beberapa tokoh terkemuka di mana lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengandungi nama dan butiran dakwaan pembayaran sogokan yang dibuat oleh syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.
Antara nama yang disebut ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
C4 berkata kurangnya peraturan mengenai sumbangan politik menyebabkan sukar untuk membezakan antara derma politik dan rasuah.
“Walaupun ia mungkin sumber pendanaan politik yang sah, tanpa peraturan dan pengawasan yang sewajarnya, ia bukan saja membuka pintu kepada kemungkinan berlakunya rasuah besar-besaran antara ahli politik yang berkuasa dan syarikat yang mencari pengaruh, tetapi mereka juga memusnahkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem politik.
“Sebilangan besar ahli politik yang menghadapi kes mahkamah melibatkan derma politik menunjukkan bahawa ini bukan amalan terpencil,” katanya.
Justeru, C4 meminta langkah-langkah berikut diambil:
Undang-undang pendanaan politik dibentangkan di parlimen secepat mungkin
Undang-undang pengisytiharan aset dibentangkan
Semua ahli politik yang dinamakan dalam perbicaraan Zahid menjelaskan penerimaan dana mereka daripada UKSB dan bagaimana wang itu digunakan.
SPRM menjelaskan mengapa siasatan tidak dijalankan walaupun mengetahui kandungan lejar itu.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat SPRM kerana tidak mengadakan siasatan lebih awal.

