240 murid SK Telok Mas belajar bawah tangga
Kira-kira 240 murid Sekolah Kebangsaan Telok Mas di Bukit Katil, Melaka terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa termasuk di bawah tangga dan di bawah khemah kanopi hampir tiga tahun lalu kerana bangunan baru sekolah itu tidak selamat untuk diduduki.
Kira-kira 240 murid Sekolah Kebangsaan Telok Mas di Bukit Katil, Melaka terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa termasuk di bawah tangga dan di bawah khemah kanopi hampir tiga tahun lalu kerana bangunan baru sekolah itu tidak selamat untuk diduduki.
Sekolah itu mempunyai empat blok bangunan untuk menampung kira-kira 1,200 murid.
Tetapi hanya tiga blok bangunan lamanya yang boleh digunakan manakala satu lagi bangunan yang siap dibina pada 2004, disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, kata Ketua Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah.
Perkara itu, katanya, telah dimaklumkan kepada oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Ekoran itu, kira-kira 240 murid sekolah berkenaan kini belajar dalam keadaan tidak sempurna, termasuk di bawah tangga dan di bawah khemah kanopi, katanya kepada malaysiakini.
Beliau yakin kementerian dan kerajaan negeri telah mengetahui hal ini tetapi sehingga ini tiada sebarang tindakan diambil untuk menangani masalah tersebut.
"Takkan setelah tiga tahun pun tidak boleh selesaikan isu ini. Ini bukan isu kecil tetapi ianya melibatkan isu keselamatan dan nyawa murid," katanya.
Basah ketika hujan
Yuhaizad berkata, kerajaan perlu bertindak sekarang sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku terhadad bangunan tersebut.
"Keadaan ini dibimbangi mengganggu tumpuan serta menjejaskan proses pembelajaran kepada murid sekolah tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PIBG sekolah berkenaan, Dr Uzir Hussin meminta Jabatan Pelajaran Melaka supaya memberi peruntukan segera bagi mengatasi masalah tersebut.
"Malangnya, sehingga hari ini belum ada jawaban yang diterima dan ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahli PIBG kerana guru dan murid terpaksa menanggung beban sejak tahun 2004," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Mas, Datuk Wira Amid Nordin, memberitahu malaysiakini bahawa beliau telah meninjau sekolah tersebut semalam.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas exco negeri, menggesa pegawai Kementerian Pelajaran supaya datang melihat sendiri keadaan di sekolah tersebut dan mengambil langkah perlu untuk mengatasinya.
Menurut Amid, para guru mengajar dalam keadaan tidak selesa manakala murid-murid yang belajar di bawah khemah pula berpeluh ketika panas dan basah ketika hujan.

