‘Azmin tak jumpa PKR, ini rekaan untuk timbulkan keraguan’
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri, Muhammad Hilman Idham menafikan wujud pertemuan antara Mohamed Azmin Ali dengan pemimpin PKR.
Katanya, spekulasi itu sengaja ditimbulkan oleh sebuah portal berita bertujuan untuk menimbulkan kesangsian di kalangan anggota Bersatu terhadap komitmen yang ditunjukkan Mohamed Azmin.
"Beliau (Azmin) dengan tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa beliau akan memberikan tumpuan untuk bersama kepimpinan Bersatu melaksanakan dasar prihatin rakyat, mencerdaskan pemulihan dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang lestari.
"Justeru, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa Azmin telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana pemimpin PKR seperti dilaporkan oleh media dipengaruhi PKR sebelum ini.
"Saya percaya spekulasi ini direka sebagai strategi jahat untuk menimbulkan kesangsian dan keraguan di kalangan anggota Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terhadap komitmen beliau," katanya yang juga Setiausaha PN Selangor dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 17 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan Azmin dikatakan bertemu dengan dua wakil PKR.
Perkara ini didedahkaan beberapa orang pemimpin kanan PKR kepada Malaysiakini yang tidak mahu identiti mereka didedahkan.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu berlangsung pada Rabu lalu (15 Jun) di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.
“Ia berlangsung selama sejam,” kata sumber.
Bagaimanapun Azmin ketika ditanya pemberita semalam berkata dia tidak ingat hotel mana dikunjunginya dan siapa ditemui pada minggu lalu berikutan jadual kerja yang padat.
Mengulas lanjut Hilman menegaskan Azmin dan kepimpinan PKR yang dipecat tidak berhasrat untuk bersama parti yang "mendewakan manusia rakus" tanpa hala tuju.
"Sesungguhnya Azmin dan kami, pemimpin dan anggota yang dipecat sebelum ini dari PKR oleh pemimpin diktaktor tidak langsung berminat untuk bersama parti yang mendewakan manusia rakus tanpa hala tuju untuk memelihara kebajikan rakyat.
"Kami akan terus mempertahankan panji-panji Bersatu dan PN demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," katanya






