Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mendakwa dia tidak tahu-menahu mengenai pembayaran wang yang didakwa dilakukan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada beberapa pemimpin politik.

Membuat penjelasan melalui media sosial menteri kanan itu berkata disebabkan namanya dikaitkan, dia bersedia untuk dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saya tidak mengetahui apa pun berkaitan perkara yang telah disebut di mahkamah baru-baru ini.

"Sekiranya mereka (pihak berkuasa) ingin memanggil saya bagi melakukan siasatan, seperti kebiasaan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa," katanya.

Mengiringi kenyataan itu ialah kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 18 Jun lalu.

Kenyataan agensi antirasuah itu menyebut mereka kini membuka kertas siasatan bagi meneliti nama-nama yang disebut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

SPRM juga mengesahkan mereka ada menerima beberapa aduan berkenaan kes tersebut.

Pada 16 Jun bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, ada sejumlah nama dalam buku lejar yang diberikan wang antara 2014 dan 2018.

Selain nama Ahmad Zahid sendiri, ada beberapa tokoh yang didedahkan saksi terbabit termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas menteri luar Anifah Aman.

Semua mereka sudah membuat penafian terhadap dakawaan Tan.

Untuk rekod Hishammuddin bukanlah antara nama ahli politik yang disebut Tan dalam keterangannya.

Bagaimanapun, seorang lagi saksi - bekas pegawai Kementerian Dalam Negeri, Djuliana Jamaludin - berkata Hishammuddin meluluskan konsesi tujuh tahun untuk permohonan UKSB melaksanakan Pusat Sehenti Sistem Pengurusan Permohonan Visa di China pada 2011.

Hishammuddin adalah menteri dalam negeri ketika itu.