Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Moody's beri status 'sampah' pada syarikat induk Forest City
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 2:50 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Syarikat pemaju hartanah China, Country Garden Holdings Co Ltd telah diberikan kedudukan "Ba1" dalam corporate family rating (CFR) dan senior unsecured rating oleh Moody's Investors Service.

Menurut laporan The Edge Markets, Moody's turut menurunkan rating outlook Country Garden kepada negatif, daripada "rating di bawah penilaian".

"Ba1" bermakna Moody's berpandangan peminjam berada di bawah gred pelaburan, ataupun dikenali sebagai status “sampah“ atau "junk".

Ini seterusnya bermakna firma penyelidikan itu berpandangan bon yang diterbitkan peminjam berkemungkinan berisiko tinggi untuk gagal tetapi pada masa sama boleh memberi pulangan tinggi.

Country Garden mempunyai 60 peratus pegangan dalam Country Garden Pacificview Sdn Bhd - syarikat pemaju projek Forest City di Johor.

Forest City dilihat sebagai projek hartanah kontroversi memandangkan sasaran utamanya adalah pembeli di luar negara, dengan hartanahnya dianggap tidak mampu dimiliki kebanyakan warga Malaysia.

Wartawan dari sebuah laman berita berpangkalan di Amerika Syarikat yang berkunjung ke Forest City pada awal Mei lalu melaporkan kawasan itu telah menjadi "bandar kosong", tanpa banyak kegiatan kecuali di kedai-kedai bebas cukai.

Kenyataan Moody's berhubung penurunan rating ini tidak menyebut Forest City secara khusus tetapi menyatakan Country Garden berdepan "kemerosotan dalam penjualan hartanah dan metrik kewangan di tengah keadaan operasi yang mencabar untuk sektor hartanah China".

"Sementara Moody's menjangka Country Garden akan mengekalkan kedudukan pasaran yang kuat dan tahap kecairan yang baik, pandangan yang negatif mencerminkan penurunan dari segi keanjalan kewangan dan penimbal kecairan, dicetuskan oleh penjualan hartanah yang merosot dan sentimen pasaran yang terus lemah untuk enam hingga 12 bulan akan datang," kata naib presiden kanan Moody's, Kaven Tsang.

The Edge Markets menyatakan ini kali kedua Country Garden diberi status junk oleh firma penilaian kredit antarabangsa.

Menurut Moody's lagi, kemungkinan untuk rating Country Garden meningkat dalam jangka waktu terdekat adalah rendah dan hanya akan berlaku jika syarikat itu mengukuhkan aksesnya terhadap pendanaan jangka panjang dan meningkatkan penjualannya.

[Baca berita asal]

Baca laporan khas Malaysiakini berkenaan Forest City sebelum ini:

Impian berkecai buruh China di Forest City

Alkisah Forest City, sultan dan dugong

Padang golf di hutan simpan

Lihat Komen
ADS