Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong lancar pelan strategik MAIWP dan manfaat kewangan asnaf
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 4:23 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melancarkan Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf secara maya, menerusi rakaman titah pelancaran.

Menerusi rakaman titah pelancaran itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita kerana tidak dapat hadir ke majlis berkenaan setelah dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk beristirehat seketika berikutan keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.

"Terlebih dahulu Beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) menzahirkan rasa amat dukacita kerana tidak dapat berangkat ke Majlis Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf.

"Sungguhpun demikian, walaupun beta jauh di mata namun hati dan jiwa Beta tetap bersama-sama rakyat yang beta kasihi, khususnya dalam usaha murni untuk menyemarakkan sinar Islam dan membantu mereka yang memerlukan," titah Seri Paduka.

Rakaman titah pelancaran itu disiarkan pada majlis pelancaran pelan berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf itu berjaya mencapai sasaran dan hasrat penubuhannya.

Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi MAIWP Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf itu adalah usaha melestarikan sistem penyampaian perkhidmatan dan pengurusan dana zakat serta menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS