Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki didenda RM4,000 muat naik video ugut tembak, rogol di Tik Tok
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 6:27 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Gara-gara memuat naik video ugutan untuk menembak dan merogol ahli keluarga rakan senegaranya menerusi aplikasi Tik Tok, seorang tukang cat warga Pakistan didenda RM4,000 atau dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu ke atas Sheikh Bilal Ahmed, 25, yang mengaku bersalah mengugut Muhammad Adnan dengan memuat naik video di aplikasi Tik Tok dan mengatakan dalam bahasa Pakistan untuk menembak ahli keluarga dan merogol kakak mangsa.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di sebuah restoran di Jalan Ipoh Chow Kit di Kuala Lumpur pada 17 Jun lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 507 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan serius.

Peguam Muhammad Syafiq Salleh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya gagal mengawal emosi akibat tertekan kerana terpaksa membayar wang perlindungan kepada mangsa setiap hari selama empat tahun.

“Mangsa setiap hari mengutip wang secara salah terhadap tertuduh. Apabila tertuduh pulang ke rumah, lelaki itu akan berada di hadapan rumahnya dan meminta sebahagian wang perlindungan.

“Ini sedikit sebanyak telah memberikan tekanan kepadanya. Anak guam saya memohon maaf atas perbuatannya dan berjanji kesalahan itu tidak akan berulang,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS