DAP tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihanraya umum akan datang selagi parti itu berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, kata Pengerusinya, Karpal Singh.

DAP, katanya, menghormati Perlembagaan yang menyebut Islam agama rasmi negara ini, tetapi parti itu menolak sebarang hasrat menjadikan Malaysia negara Islam.

"Kita terima agama Islam adalah agama rasmi negara tetapi kita tidak akan bekerjasama dengan PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam," katanya dalam Ceramah Perdana DAP di Pulau Pinang malam tadi.

Berdasarkan Perlembagaan negara, katanya, agama Islam hanya diterima sebagai agama rasmi di Malaysia serta rakyat diberi kebebasan beragama dan DAP akan mempertahankan perkara itu.

Menurut laporan Bernama, seehubungan itu, Karpal berkata, DAP tidak akan menerima PAS jika parti itu mahu melaksanakan undang-undang Islam di negara ini kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Jawatan Naib Canselor

Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir di ceramah itu berkata, Keadilan juga akan mempertahankan Perlembagaan yang menerima Islam sebagai agama rasmi dan parti itu tidak berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri turut membayangkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang dengan berkata: "Janganlah seronok dengar sahaja apa yang saya cakap tapi bagilah undi bagi saya menang".

Beliau juga mendesak supaya ahli akademik keturunan Cina dilantik sebagai Naib Canselor bagi sekurang-kurangnya tiga buah universiti awam.

Di majlis itu, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyentuh mengenai bantahan terhadap cadangan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam serta isu-isu mengenai prestasi ekonomi negara.