Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman Parti Warisan terhadap Hassan Amir Gani bagi menguatkuasakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh yang ditandatangani Adun Sebatik itu, berikutan tindakannya keluar parti pada Feb tahun lalu.

Hakim Wong Siong Tung memutuskan bahawa surat-surat itu menyalahi undang-undang dan melanggar hak kebebasan berpersatuan.

"Seseorang ahli badan perundangan yang dipilih harus bebas bertindak mengikut kemampuannya yang terbaik dan pertimbangan bebasnya tidak seharusnya dikekang oleh undang-undang oleh obligasi sama ada kepada partinya atau kepada pengundi atau tertakluk kepada telunjuk sesiapa.

"Sebarang pengaturan yang membelenggu atau melucutkan kebebasan ahli badan perundangan yang dipilih itu akan bertentangan dengan dasar awam dan menyalahi undang-undang," Wong dipetik berkata sebagainya.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr yang memohon perintah mahkamah untuk menguatkuasakan "ikrar kesetiaan" Hassan kepada Warisan sebelum pilihan raya Sabah pada September 2020.

Semua Adun Warisan menandatangani surat tidak bertarikh itu, dengan ikrar untuk meletakkan jawatan jika mereka meninggalkan parti, sebelum dicalon bertanding di bawah tiket parti itu.

Hassan yang meninggalkan Warisan pada Februari 2021 adalah antara lima Adun Warisan yang meninggalkan parti itu sejak pilihan raya 2020 bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sarawak.

Wong berkata sebarang perbuatan yang melucutkan kebebasan Hassan untuk berpersatuan tidak tertakluk kepada undang-undang.

"Sebarang alasan tindakan berdasarkan pengaturan sedemikian untuk melucutkan kebebasan itu tidak boleh dikekalkan dalam undang-undang.

“Penalti yang sesuai bagi ahli perundangan yang dipilih untuk janji politik yang dimungkiri adalah bagi pengundi atau pemilih mempertimbangkan untuk mengundi secara berbeza pada peluang seterusnya," kata Wong.

Mahkamah juga memerintahkan Padua membayar kos Hassan RM5,000.