Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dijemput untuk berucap di perjumpaan tertutup yang akan dihadiri pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuala Lumpur hujung minggu ini.

Bagaimanapun, kedua-duanya akan berucap dalam sesi yang berasing.

Lim, yang juga pemimpin veteran DAP, memberitahu malaysiakini, beliau telah bersetuju menghadirinya untuk bercakap mengenai situasi politik semasa dan bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakannya dari PKR.

Ditanya sama ada akan ada perbincangan mengenai kerjasama untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, Lim berkata, perkara itu dijangka disentuh.

Awal bulan ini, Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, telah dijemput berucap di satu perjumpaan DAP di Cameron Highlands.

Pada 1999, DAP menyertai Barisan Alternatif (Ba) bersama PAS dan PKR (ketika itu dikenali sebagai Keadilan). Bagaimanapun, DAP menarik diri dua tahun kemudiannya selepas tidak sehaluan dengan perjuangan PAS untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata perjumpaan dua hari itu, yang akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dijangka dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk ahli majlis tertinggi PKR dan tetamu jemputan seperti bekas pemimpin Barisan Nasional, ahli perniagaan dan badan-badan pemikir.

"Kita akan adakan beberapa taklimat dan tetamu jemputan akan diminta memberi maklumbalas yang boleh kita terokai untuk kerjasama pada masa depan," kata Chua.

Perjumpaan itu yang akan dirasmikan oleh Anwar dan isterinya, Dr Wan Azizah Ismail, yang juga Presiden PKR juga akan menetapkan halatuju masa depan PKR, termasuk mengenai pilihanraya umum. Berita asal