Empat menteri diarah tinjau pusat tahanan Simpang Renggam
Kabinet telah mengarahkan empat orang menteri untuk mengadakan lawatan khas ke Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor dan melaporkan hasilnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keadaan di sana.
Kabinet telah mengarahkan empat orang menteri untuk mengadakan lawatan khas ke Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor dan melaporkan hasilnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keadaan di sana.
Mereka adalah Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi; Menteri Sumber Manusia Datuk Dr Fong Chan Onn dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Ketika memaklumkan perkara itu, Samy Vellu itu berkata arahan tersebut dikeluarkan setelah beliau membangkitkan kepada mesyuarat kabinet semalam mengenai pelbagai aduan yang diterima daripada keluarga tahanan terutama kaum India yang tidak berpuas hati dengan cara tahanan dilayan sepanjang berada di pusat tahanan tersebut.
"Kita akan memberikan laporan dan cadangan (selepas melawat)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC) hari ini.
Menurut laporan Bernama, Samy Vellu berkata, keempat-empat menteri itu akan meninjau dan memberi penilaian masing-masing berhubung semua aspek yang ditimbulkan itu termasuk mengenai kemudahan kesihatan tahanan.
Samy Vellu berkata laporan yang bakal disediakan itu penting bagi memastikan mereka yang dihantar ke situ, termasuk yang ditahan khas di bawah Ordinan Darurat dapat dipulihkan dan kembali ke pangkuan masyarakat menjadi warga yang baik.
Tahanan kena belasah
Baru-baru ini, tahanan di pusat tersebut mendakwa mereka telah dipukul oleh warden, mengakibatkan 16 tahanan dirawat di hospital.
Seorang tahanan yang menghubungi malaysiakini sejurus selepas kejadian itu, mendakwa tongkat rotan dan cota digunakan untuk memukul mereka selepas mereka diarahkan bercangkung atas lantai.
Ekoran itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk N Siva Subramaniam melawat pusat itu pada 8 Januari lalu dan mendapati ada bukti yang tahanannya diberi layanan buruk oleh warden.
Beliau juga memberi tempoh sebulan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu, jika tidak, Suhakam akan mengadakan siasatan awam terhadap insiden tersebut.
Simpang Renggam menempatkan kira-kira 4,000 tahanan yang ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Merbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

