Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sapura Energy Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM91.93 juta pada suku pertama berakhir 30 April, 2022 berbanding kerugian bersih RM97.07 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh peningkatan pertukaran asing yang timbul daripada kenaikan dolar AS berbanding ringgit.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu berkata hasil, bagaimanapun, jatuh 39.7 peratus kepada RM886.08 juta daripada RM1.47 bilion setahun lepas.

“Hasil yang rendah ini terutamanya disebabkan oleh aktiviti projek yang rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan pada suku semasa,” kata syarikat itu.

Sapura Energy berkata berkata sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula holistiknya -- pelan tetapan semulanya -- kumpulan itu telah memulakan beberapa siri rundingan dengan pelanggan untuk penyelesaian secara baik bagi memastikan projek disempurnakan, kata syarikat itu dalam kenyataan media berasingan.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) pada suku pertama tahun kewangan 2023 terutamanya diperoleh daripada usaha yang berterusan, yang dilaksanakan menerusi penyelesaian komersial yang diluluskan dan peningkatan pertukaran asing yang menggalakkan berikutan pengukuhan dolar AS.

Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Group Mohd Anuar Taib berkata kumpulan itu sedang menyaksikan pencapaian awal pemulihan, berikutan pelaksanaan pelan tetapan semulanya.

"Kami masih mempunyai halangan besar untuk diatasi sebelum kami dapat mengekalkan momentum yang menggalakkan ini," katanya.

Sapura Energy kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 dan pelan penyusunan semula, berdasarkan pelan tetapan semula kumpulan yang dimulakan pada Disember 2021, sedang dirumuskan.

“Melaksanakan pelan tetapan semula kami menjadi lebih penting berbanding sebelum ini memandangkan ia adalah laluan kami menuju platform yang stabil kepada kumpulan, membolehkan kami keluar daripada status PN17 dan berkembang dalam masa terdekat,” jelas Mohd Anuar.

Kumpulan itu akan terus melaksanakan aktiviti projek sepanjang tahun ini, dengan lebih daripada 50 projek yang sedang dijalankan merentas segmen perniagaannya.

Beberapa projek utama dimulakan pada suku kedua tahun kewangan 2023, termasuk kempen pemasangan luar pesisir dan penggerudian di Semenanjung Malaysia, Trinidad dan Tobago, dan Gabon di Afrika.

"Kumpulan itu juga meningkatkan keuntungan projeknya melalui penambahbaikan berterusan dalam disiplin pengurusan, disokong oleh kontrak yang lebih kukuh dan pengurusan kos untuk melindungi margin," tambahnya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS