Seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) menggesa agar Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dipecat berhubung kenyataannya mengenai kematian pendatang asing di pusat tahanan imigresen Sabah.

Ketua biro undang-undang AMK Johor Lau Yi Leong yang membuat gesaan itu semalam, berkata kerajaan tidak menunjukkan hasrat untuk menyiasat peningkatan kes kematian dalam tahanan imigresen.

“Jika kerajaan masih ada kepercayaan terhadap hak asasi manusia, saya menyeru Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya segera memecat Hamzah sebagai menteri dalam negeri.

"Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja dan siasat keadaan pusat tahanan Imigresen, amalan rasuah yang meluas dalam Jabatan Imigresen dan peningkatan jumlah kematian di pusat tahanan Imigresen," kata Lau, sambil menambah bahawa langkah itu mesti dilaksanakan supaya pembaharuan dapat dilakukan segera.

Hamzah berkata semalam bahawa jika dia boleh meramalkan kematian dalam tahanan, itu akan menjadikannya "hebat".

Bagaimanapun, dia berpendapat, sesiapa sahaja boleh mati di mana-mana.

“Jika saya tahu seseorang akan mati dan tidak meletakkan mereka dalam tahanan, saya akan menjadi hebat.

“Jika kita menahan mereka, itu bermakna mereka telah melakukan jenayah.

"Apabila seseorang melakukan jenayah, kita terpaksa mengikut undang-undang sedia ada," kata Hamzah kepada pemberita.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Koalisi Pekerja Migran Berdaulat (KBMB) pada 25 Jun menyatakan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah merekodkan kematian 149 warga Indonesia di lima pusat tahanan di Sabah dalam tempoh 18 bulan antara 2021 dan 2022.

Dalam pada itu, Lau yang juga peguam turut memetik angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen bahawa 23 tahanan telah meninggal dunia di pusat tahanan Imigresen antara Jan hingga Jun 2020.

Berbanding laporan KBMB, Lau berkata keadaan bertambah buruk apabila angka itu menunjukkan peningkatan purata kematian setiap bulan, daripada purata 3.8 kematian setiap bulan kepada purata 8.3 kematian setiap bulan.

Laporan yang bertajuk “A Report from Hell: Conditions of the Immigration Detention Centres in Sabah” , mendedahkan keadaan yang mengerikan di pusat tahanan ini dan kanak-kanak kecil juga ditahan di sana.