Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patut bantah kedudukan Apandi lebih awal - menteri
Diterbitkan:  Jun 29, 2022 1:03 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Sebarang bantahan terhadap pelantikan Mohamed Apandi Ali sebagai pengerusi pasukan petugas khas  pasukan petugas khas semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh sewajarnya dibangkitkan lebih awal, kata menteri undang-undang.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian selepas bekas perdana menteri Mahathir Mohamad semalam memulaukan inkuiri pasukan itu sebagai bantahan terhadap kedudukan Apandi.

Mahathir berpendapat Apandi mempunyai percanggahan kepentingan dan sepatutnya menjadi saksi.

Wan Junaidi berkata pasukan petugas khas mengambil maklum dengan pendirian Mahathir untuk tidak meneruskan sesi temubual saksi bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance yang dijadualkan semalam.

"Kerajaan berpandangan tiada isu berbangkit berkaitan keputusan jemaah menteri pada 29 Oktober 2021 untuk melantik Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas memandangkan pertimbangan sewajarnya dilaksanakan terhadap keputusan untuk menubuhkan pasukan tersebut.

"Oleh yang demikian, sebarang bantahan berkaitan kedudukan pengerusi pasukan petugas khas sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.

"Pasukan petugas khas ini dilantik dengan tujuan spesifik untuk meninjau dan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes ini di International Court of Justice (ICJ) pada 2018," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi bertindak keluar dari pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC), tempat dia sepatutnya diwawancara panel salah laku tort berkaitan isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, sebagai tanda protes terhadap bekas peguam negara Apandi.

Pasukan petugas khas ini telahpun menjalankan tugas mereka selama tujuh (7) bulan sehingga Laporan Interim telah disediakan dan Laporan Akhir serta tindakan susulan sedang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas tersebut.

Dia berbuat demikian kerana panel itu masih diketuai Apandi, yang menurut Mahathir mempunyai konflik kepentingan dalam kes itu.

Sementara itu Wan Junaidi menegaskan adalah mustahil baginya untuk bertindak sewenang-wenang tanpa sebarang justifikasi untuk mengeluarkan Apandi sebagai pengerusi apabila jemaah menteri membuat keputusan pelantikan itu.

“Pasukan petugas khas hanya ingin mendengar dan mendapatkan pandangan mengenai situasi pada 2018 apabila kerajaan menarik balik rayuan kes ini di International Court of Justice (ICJ).

" Tun (Mahathir) sedia maklum akan pelantikan pengerusi pasukan petugas khas oleh jemaah menteri dan beliau sebenarnya boleh menolak untuk hadir ke sesi pagi ini di ACG," katanya.

Sehubungan itu tambahnya, tindakan Mahathir itu mengejutkan panel penemubual dan perkara-perkara yang sepatutnya dapat dikongsikan beliau tidak dapat diperolehi oleh pasukan petugas khas.

Malah tegas Wan Junaidi, dia berasa kecewa dengan tindakan Mahathir yang tidak memberi kerjasama tetapi ingin menegaskan bahawa pasukan petugas khas akan meneruskan komitmen dan tanggungjawab menghasilkan laporan akhir seperti mana yang dirancang.

"Ia selaras dengan tujuan penubuhannya iaitu untuk meneliti hala tuju berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta keputusan kerajaan pada tahun 2018 untuk menarik balik permohonan semakan dan permintaan tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan," katanya.

Lihat Komen
ADS