Pemuda Umno telah membuat laporan polis terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah yang didakwanya menghasut pengundi Batu Talam supaya memboikot pilihanraya kecil di situ Ahad ini.

Sivarasa didakwa membuat kenyataan itu semasa menyampaikan ceramah di Pusat PAS Cawangan Kampung Ria pada 23 Januari lalu antara antara jam 9 malam hingga 11.55 malam.

Laporan tersebut dibuat jam 9.30 pagi oleh bendahari pergerakan itu, Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar di Balai Polis Raub, demikian menurut laporan Bernama.

Turut sama ialah Ketua Jawatankuasa Penasihat Undang-undang Pemuda Umno bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Mohd Suffian Awang.

"Laporan polis ini dibuat supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap pihak pembangkang ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Pilihanraya kecil Batu Talam akan menyaksi pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Kiram dengan calon bebas Ng Chee Pang.