Menteri Air dan Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan polis telah melancarkan Ops Gempur ke atas beberapa premis susulan pencemaran air di Sungai Chandong, Pelabuhan Klang.

Operasi pihak berkuasa itu hasil maklumat awam, kata Tuan Inbrahim.

Premis terbabit disyaki membuang cecair merah ke dalam longkang monsoon yang kemudiannya mengalir ke Sungai Chandong.

Tuan Ibrahim juga berkata tinjauan mendapati pencemaran berlaku di hilir kolam tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) di Jalan Sungai Pinang.

“Tinjauan di jeti nelayan mendapati air masih berwarna merah dan ujian asid menunjukkan bacaan pH 6.44. Kegiatan tidak bertanggungjawab itu disyaki dijalankan pada waktu malam.

“Siasatan diteruskan di Jalan Pinang 5/5 dan menjumpai kesan aliran cecair merah dalam longkang monsoon dipercayai lokasi pembuangan cecair itu.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah membuat laporan polis,” katanya pada satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, aduan sama berkenaan pencemaran air di Sungai Chandong juga pernah dikemukakan pada 13 Jun.

Malaysiakini pada 16 Jun lalu melaporkan tinjauan ke lokasi terjejas dan menemui beberapa penduduk perkampungan nelayan di persisiran Sungai Chandong.

Nelayan yang ditemui berkata mereka sudah lali dengan permasalahan pencemaran sungai di situ yang sudah berlanjutan bertahun-tahun.

Penduduk setempat juga mendakwa pihak yang terlibat bijak berselindung dengan melepaskan cecair yang menjadi punca sungai bertukar merah ketika menjelang air pasang dan surut.

Dalam satu kenyataan lain, Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Selangor, Hee Loy Sian berkata siasatan segera Lembaga Urus Air Selangor (Luas) lewat petang semalam mendapati keadaan aliran air sungai telah kembali normal berikutan air pasang.

“Pihak Luas telah menjalankan pensampelan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran tersebut.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan diteruskan oleh Luas bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara.

“Pihak Luas juga akan bekerjasama dengan penduduk sekitar untuk meneruskan siasatan,” katanya.