Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib jawab pihak pendakwaan mengenai peranan hakim Nazlan

Bekas perdana menteri Najib Razak akan memfailkan jawapan balas di mahkamah terhadap dakwaan pihak pendakwaan bahawa peranan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini tidak ada kaitan dengan kes rasuah SRC International.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan Mahkamah Persekutuan tengah hari tadi memerintahkan pasukan peguam Najib memfailkan afidavit jawapan pada 14 Julai.

Terdahulu pendakwa raya menghadiri pengurusan kes di mahkamah persekutuan hari ini berhubung permohonan Najib untuk membatalkan sabitan terhadapnya dalam kes rasuah SRC.

Bekas menteri kewangan itu memohon Mohd Nazlan disingkirkan atas sebab wujud konflik kepentingan untuk dia mengadili kes itu.

Mohd Nazlan sebelum ini dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Semalam, pihak pendakwaan memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan Najib, dengan alasan bahawa peranan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai peguam am Maybank tidak mempunyai kaitan dengan kes RM42 juta dana SRC yang didakwa masuk ke akaun bekas perdana menteri itu.

Ashrof menjelaskan bahawa mahkamah juga mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan jawapan lanjut selewat-lewatnya pada 21 Julai dan sebarang jawapan tambahan oleh Najib selewat-lewatnya pada 28 Julai.

"Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes seterusnya pada 29 Julai jam 3 petang," kata Ashrof.

Selain Ashrof, DPP V Sithambaram turut mewakili pihak pendakwaan. Manakala Najib diwakili peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan bersalah terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pada 28 Julai 2020, Nazlan yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu mensabitkan Najib atas satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Hakim itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 8 Dis tahun lepas, mahkamah rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan mahkamah tinggi.

Lihat Komen
ADS