Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang mahu MB, speaker Johor tak semberono ulas isu Batu Puteh
Diterbitkan:  Jun 30, 2022 8:31 PM
Dikemaskini: 10:31 PM

Seorang pemimpin Pejuang menasihatkan agar Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dan speaker DUN negeri itu, Mohd Puad Zarkashi, agar "bersabar" semasa membicarakan isu Pulau Batu Puteh.

Penyelaras Pejuang untuk Parlimen Parit Sulong di Batu Pahat Mahdzir Ibrahim, berkata dua pemimpin berkenaan perlu meneliti isu terbabit sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa isu ini bukan isu peribadi antara mereka dengan Dr Mahathir Mohamed.

"Isu Pulau Batu Puteh ini isu perundangan yang melibatkan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan," katanya.

Menurut Mahdriz kedua-dua pemimpin terbabit tidak seharusnya bertindak semberono dengan mengulas isu berkenaan tanpa merujuk dan meminta nasihat daripada pegawai perundangan yang lebih arif.

Terdahulu Mohd Puad menawarkan diri untuk mengemukakan saman sebanyak RM3 billion terhadap Mahathir atas alasan isu Pulau Batu Puteh adalah sebahagian daripada kedaulatan Johor.

Sebelum ini, Onn Ghazi berkata kerajaan negeri mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap pulau tersebut.

"Perkara pertama yang patut kita sedar ialah, laporan siasatan tersebut merupakan laporan interim. Ini bermaksud, laporan tersebut belum selesai malah dalam kenyataan yang sama, menteri yang bertanggungjawab itu juga telah memohon tempoh lanjutan untuk menyiapkan laporan tersebut.

"Sebagai menteri besar dan speaker Johor, kalian harus menghormati proses ini terlebih dahulu, bukan semberono mengeluarkan kenyataan yang akan menggangu gugat ketenteraman dan keharmonian rakyat," kata Mahdzir lagi.

Lihat Komen
ADS