Umno nafi beri ganjaran wang kepada bekas ahli PAS
Umno menafikan mereka memberi wang sebagai ganjaran kepada bekas ahli PAS Felda Tersang untuk menyertai Umno menjelang hari pengundian pilihanraya Batu Talam esok.
Umno menafikan mereka memberi wang sebagai ganjaran kepada bekas ahli PAS Felda Tersang untuk menyertai Umno menjelang hari pengundian pilihanraya Batu Talam esok.
Ahli Jawatankuada Umno Bahagian Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, ahli PAS terbabit memasuki Umno dengan kerelaan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Katanya, beliau sendiri telah bertanyakan perkara ini kepada beberapa ahli PAS berkenaan di padang bola Felda Tersang Satu petang semalam.
"Bagaimanapun, mereka mengaku ada memberitahu beberapa kawannya bahawa mereka mendapat wang semata-mata untuk menarik ahli PAS yang lain supaya turut serta menyertai Umno," katanya ketika dihubungi semalam.
Ahad lalu, 24 ahli PAS Felda Tersang dalam kawasan Batu Talam menyerah borang permohonan menjadi ahli Umno kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang diadakan di dewan Sekolah Menengah Felda Tersang Satu.
Abdullah berkata, ahli PAS di Felda Tersang dalam kawasan Batu Talam mengambil keputusan meninggal parti itu dan menyertai Umno demi masa depan mereka dan keluarga masing-masing di tanah rancangan tersebut.
Seorang daripada mereka, Mohd Zulkifli Abdul Rahman, 48, berkata, beliau tidak mahu memburukkan PAS tetapi percaya peneroka Felda Tersang "tahu menilai parti mana yang baik dan buruk untuk mereka.".
Tidak sesuai
Mohd Zulkifli berkata, beliau menjadi ahli PAS selama 25 tahun tetapi menghadapi pelbagai kesukaran yang tidak dapat dibantu oleh parti pembangkang itu.
Contohnya, kata beliau, pinjaman perumahannya dari Felda yang dipohonnya sejak tiga lagi sehingga ini, belum diluluskan.
Sementara itu, Abdul Hamid Saad,53, berkata, beliau menyertai Umno kerana perjuangan kepimpinan PAS "tidak sesuai dengan hasrat peneroka Felda Tersang.
Katanya, peneroka memerlukan pembelaan setiap masa dan ini yang tidak boleh dilakukan oleh pemimpin PAS.
"Hati saya telah berubah...kini saya orang Umno. Cukuplah pengalaman saya dengan PAS," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Ketua Umno Felda Tersang, Ahmad Salleh berkata, aekas ahli PAS itu menyertai Umno, antaranya kerana tidak puas hati dengan tindakan parti pembangkang memboikot pilihanraya Batu Talam.

