Bersih gesa kerajaan S'wak tarik balik larangan ke atas pengerusi
Gabungan reformasi pilihan raya Bersih menggesa kerajaan negeri Sarawak supaya menarik balik larangan kemasukan yang dikenakan ke atas pengerusinya Thomas Fann sejak tahun 2016 dan individu lain.
Bersih, dalam satu kenyataan, berkata larangan kemasukan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Jaul Samion susulan permohonan Fann untuk ke negeri itu sebagai sebahagian daripada pasukan Jerayawara Ketuanan Pengundi di Kuching pada Sabtu ini.
"Walaupun Akta Imigresen memberi Sarawak dan Sabah hak untuk menafikan kemasukan kepada mana-mana bukan pemastautin di negeri-negeri Malaysia Timur, namun ia bukan bertujuan untuk menyekat aktiviti politik yang sah di bawah Seksyen 67 Akta tersebut," kata jawatankuasa pemandu Bersih.
“Bersih sedang dalam Jerayawara Ketuanan Pengundi di seluruh negara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia tentang reformasi pilihan raya dan politik yang mendesak yang diperlukan untuk mengukuhkan demokrasi berparlimen kita sebelum PRU15.
"Fann, sebagai pengerusi organisasi kami, adalah kunci dalam menerajui kempen penting ini dan dijadualkan berucap di dewan bandaran Sabtu ini," katanya.
Di sebalik larangan kemasukan itu, Bersih berkata ia akan terus mengetengahkan mesej memulihkan kuasa pengundi selepas dua setengah tahun ketidaktentuan politik dan pergolakan yang dibawa oleh Langkah Sheraton pada 2020.
"Fann akan menyampaikan ucapannya secara maya walaupun diaamat berharap dapat bersemuka dengan rakan-rakan dan penyokong secara peribadi dan menikmati layanan mesra mereka," kata Bersih.

