Hapus subsidi: K'jaan tak boleh abai golongan M40, PKS
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan supaya tidak mengabaikan golongan berpendapatan sederhana 40 peratus (M40) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terdedah kepada peningkatan inflasi apabila kerajaan menghapuskan subsidi minyak masak botol, telur dan ayam berkuat kuasa hari ini .
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan bahawa M40 dan PKS masing-masing tidak mendapat apa-apa bantuan atau tidak mencukupi daripada kerajaan.
Menurutnya, kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19 menyebabkan lebih 580,000 isi rumah berpendapatan sederhana kembali ke dalam kategori B40 dan kebanyakan mereka membelanjakan lebih 25 peratus daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan.
"Rakyat Malaysia dalam kumpulan M40, mereka yang berpendapatan bulanan isi rumah antara RM4,851 hingga RM10,970, berasa dilupakan dan dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan berikutan pemansuhan subsidi minyak masak (kecuali peket 1kg), telur dan ayam yang berkuat kuasa hari ini.
"Berikutan pemansuhan subsidi, minyak masak Vesawit 5kg yang berharga RM28 sebelum ini kini berharga RM41/-, naik 43 peratus," katanya.
Tambahnya, inflasi negara, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat 2.8 peratus pada Mei berbanding setahun lalu, tidak menggambarkan kenaikan harga di lapangan.
"Peningkatan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan, yang mengukur kos barangan selepas keluar dari kilang, sebanyak 11.2% pada Mei 2022 berbanding 11% pada April 2022, mungkin gambaran lebih tepat terhadap keadaan sebenar," katanya,
"Isi rumah B40 berpendapatan sehingga RM4,850 sebulan mendapat sedikit bantuan kewangan daripada kerajaan untuk mengatasi pemansuhan subsidi dengan RM100 setiap isi rumah dan RM 50 untuk bujang.
"Untuk M40, mereka tidak mendapat apa-apa. Kerajaan harus memberikan sedikit bantuan dengan mengambil kira bahawa seperti mereka yang dalam B40, ramai dalam M40 membelanjakan lebih daripada 25% daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan.
"Jangan sampai kita lupa pendapatan rakyat Malaysia turut terhakis oleh kemerosotan mendadak nilai ringgit yang merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura dan AS, dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara," tambah Lim.
Dalam pada itu, Lim turut menggesa kerajaan supaya tidak meninggalkan PKS yang turut merasai tekanan.
“Kos PKS ditambah lagi dengn kekurangan buruh yang teruk disebabkan oleh ketidakcekapan Menteri dan birokrasi kerajaan.
"Mengapa perlu menambah kesusahan kepada PKS sedangkan kekurangan tenaga buruh yang teruk ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan kuasa menteri?
"Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengkhianati tanggungjawab mereka untuk membantu kedua-dua M40 dan PKS," katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penghapusan subsidi untuk penternak ayam dan harga siling untuk ayam dan telur, tetapi ia kemudian membatalkan keputusannya dan mengekalkan harga siling.
Harga siling baru ayam di Semenanjung Malaysia mulai hari ini ditetapkan pada RM9.40 sekilogram - peningkatan sebanyak RM0.50.
Harga maksimum telur ayam ialah RM0.45 sebiji untuk telur Gred A, RM0.43 untuk Gred B, dan RM0.41 untuk Gred C - peningkatan sebanyak 2 sen.
Selain itu, kerajaan hanya akan memberi subsidi minyak masak polibeg 1kg, dan harga siling minyak masak sawit tulen yang dijual dalam botol akan dinaikkan mulai hari ini.

