Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA gesa teliti agihan doktor
Diterbitkan:  Jul 2, 2022 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meneliti isu pengagihan doktor.

Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata KKM serta Jabatan Perangkaan perlu melihat isu kekurangan doktor di setiap negeri serta melakukan perancangan sewajarnya.

“Isu pegawai perubatan berhenti adalah serius dan juga mesti diteliti kerana kita mengalami kekurangan sumber tenaga yang amat diperlukan.

“Selain menjaga kesihatan rakyat, doktor juga memerlukan rehat yang secukupnya. Jika mereka ada panggilan setiap hari, ia akan mengakibatkan keletihan,” katanya.

Koh menambah, jabatan kesihatan negeri mesti merancang pengagihan pegawai perubatan rendah.

“Tenaga kerja tidak seharusnya tertumpu kepada pekerja sementara ini, sebaliknya dirancang dengan agihan tetap kepada hospital dan jabatan,” katanya.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilapor berdepan kekurangan pegawai perubatan dalam beberapa minggu akan datang berikutan pemidahan keluar sejumlah doktor muda pada 18 Julai ini.

Perkara itu dinyatakan Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang memuat naik surat dalaman yang ditandatangani timbalan pengarah (perubatan) hospital itu Dr Marina Abdullah Sani di Twitter.

Susulan itu, Dr Marina berkata satu mesyuarat akan diadakan di auditorium hospital petang ini dengan semua kakitangan perubatan pentadbiran bagi membincangkan isu berkenaan.

Kementerian Kesihatan, bagaimanapun, menafikan kekurangan doktor dan mengatakan mesyuarat berkenaan adalah untuk menyelaraskan latihan pemindahan.

Menurut portal berita kesihatan CodeBlue, seramai 768 doktor kontrak dilaporkan telah berhenti kerja di Kementerian Kesihatan tahun lepas.

Jumlah pegawai perubatan kontrak yang meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan pada 2017 ialah 110, diikuti 168 pada 2018, 475 pada 2019 dan 511 pada 2020.

Pada Mac, lalu Kementerian Kesihatan mengumumkan telah mewujudkan sekurang-kurangnya 11,296 jawatan tetap dari 2022 hingga 2025 melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

Lihat Komen
ADS